Wednesday, December 21, 2011

Bantuan Mega

Bank Pusat Eropah (ECB) mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan dana berjumlah 489 billion Euro ($645 billion dolar Amerika) dengan pinjaman tiga tahun. Dana tersebut bertujuan membantu kecairan bank-bank di Eropah pada mulanya dianggarkan sebanyak 293 billion Euro dengan nilai bunga sebanyak satu peratus setahun. Satu nilai pembayaran balik yang tidak dapat ditolak oleh 523 bank eropah yang dahagakan modal niaga.


Bantuan tersebut bagi memastikan kecairan wang cukup untuk mengelak terhentinya sistem kewangan serantau. ECB yang bertanggungjawab dalam urusan perbankan Eropah sebelum ini ditegah untuk turut serta dalam pembelian bon-bon kedaulatan.


Bagaimanapun berita mega ini tidak disambut baik oleh bursa-bursa Eropah dan pasaran dagangan hadapan Dow Jones.


Mungkin dengan dana yang begitu mega membuatkan pemerhati kewangan agak berhati-hati dalam mengira sebesar mana impak krisis kewangan Eropah kepada pasaran dunia.

Tuesday, December 20, 2011

Buruk Siku Moden


Bank Pusat Eropah (ECB) mempunyai undang-udang yang melarang pembelian bon-bon kedaulatan (sovereign bonds) negara-negara Eropah yang mengalami masalah kecairan. ECB hanya perlu bertanggungjawab ke atas kecairan bank-bank rakan anggota dan bukan menyelesaikan masalah negara.

Perlu diingati bahawa krisis kewangan Eropah ini berlaku kerana negara seperti Greece, Itali, Sepanyol, Ireland dan Portugal gagal dalam melunaskan pembayaran bon kedaulatan pada waktunya dan perlu meminjam kepada sumber luaran untuk pembiayaan semula.

Ditambah dengan janji negara seperti China, Brazil, India yang masih tinggal janji (belum ada kata putus..), pembayaran bon melebihi tujuh peratus setahun yang membebankan maka kiblat kecairan terarah kepada ECB. Bagaimanapun Cancellor Jerman enggan berbuat demikian kerana ECB perlu menjadi badan yang kekal bebas.

Bagi menyelesaikan masalah ini ECB menggunakan undang-undang yang sedia ada. Dalam Artikel 23 ada mengatakan “ECB boleh menjalankan urusan perbankan termasuk hubungan ke negara ketiga, organisasi antarabangsa, termasuk operasi meminjam dan memberi pinjam”.

Jadi ECB akan memberikan pinjaman kepada IMF dan IMF akan menggunakan dana tersebut untuk operasi menyelamat negara-negara di dalam zon eropah seperti  bailout, bantuan kredit dan lain-lain. Jumlah yang ditawarkan adalah 150 billion euro dan 50 billion euro lagi dari negara-negara diluar Kesatuan Eropah.

Friday, November 18, 2011

Bos Merkel

Kejatuhan pasaran saham minggu lepas disebabkan satu perkara utama, Angela Merkel dari Jerman.
Apabila kebanyakan negara Eropah ingin Bank Pusat Eropah (ECB) dibenarkan untuk membeli bon Eropah, menurunkan kadar pinjaman seterusnya dapat membantu pertumbuhan. Dengan kata mudah, menyelesaikan masalah dengan menabur duit ke dalam pasaran kewangan. Merkel membantah cadangan tersebut.
Menjadi pemberi dana terbesar di dalam Kesatuan Eropah menjadi satu kelebihan kepada Jerman iaitu kata putus dalam semua hal!
Merkel menegaskan ECB tidak boleh menjadi pemberi peminjam terakhir - 'lender of last resort'. ECB kebiasaanya menjadi pemberi pinjaman terkahir untuk sistem kewangan tetapi tidak kepada kerajaan yang mengalami masalah.
Memudahkan urusan Merkel adalah gelombang perubahan pentadbiran di Greece, Itali dan Sepanyol. Pemimpin lama seperti Berlusconi (Itali) dan Papandreou (Greece) telah meletak jawatan membuatkan urusan untuk memberi arahan lebih mudah.
Perdana Menteri British, David Cameoran juga terpaksa mendengar titah perintah Merkel sedangkan sebelum ini UK sentiasa meminggirkan diri dalam urusan Kesatuan Eropah. Ini kerana sebarang perubahan di dalam hala tuju Eropah akan memberikan implikasi kepada UK.
Merkel menyedarkan pihak British dan negara Eropah lain bahawa menggunakan duit untuk mengembalikan kredibiliti memang perlu, tetapi jangan berlakon dengan kekuatan kewangan yang mereka tidak miliki.
Berasal dari negara yang terkenal dengan kejuruteraan juga memberi idea kenapa Jerman begitu berhati-hati dalam urusan kewangan.

Sunday, November 13, 2011

Mengata Greece, Itali Serepih

Perdana menteri Greece, George Papandreou menjadi mangsa terbaru krisis kewangan Eropah setelah meletak jawatan akibat tekanan dari rakyat Greece dan Kesatuan Eropah. Beliau dianggap gagal mengemudi ekonomi Greece di dalam menyelesaikan hutang negara dengan lebih berkesan. Tempat beliau kini diteraju oleh Lucas Papademo.

Menyusul (seperti teori domino - ingat 'musim bunga arab'?) adalah Silvio Berlusconi, seorang veteran di kalangan pemimpin Eropah, telah meletakkan jawatan Sabtu lepas. Perletakan jawatan beliau pada mulanya bersyarat seperti Papandreou, “Luluskan pakej bantuan kewangan, dan saya akan meletak jawatan.” Syarat tersebut membuatkan pasaran saham seluruh dunia memberi reaksi negatif.

Bekas Perdana Menteri Itali tersebut mengakhiri era penuh skandal politik Itali dan disambut dengan meriah rakyat Itali di tengah-tengah bandaraya Rom. Perjalanan politik beliau penuh warna-warni serta terlibat dalam skandal seks melibatkan langganan pelacur bawah umur sehinggalah didakwa kerana penipuan cukai.

Mengikut Forbes, Berlusconi adalah orang ke-tiga terkaya di Itali dengan aset berjumlah 9 billion euro (2010). Aset pelaburan beliau merangkumi media (stesen tv, suratkhabar, penerbitan, perfileman), perbankan, insuran dan sukan.

Itali merupakan negara Eropah yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar menjadi kelam-kabut apabila jualan bon bagi 10 tahun naik ke paras 7.6 peratus, satu angka yang membuatkan negara Ireland, Portugal dan Greece bergegas meminta bantuan antarabangsa.

Kadar pinjaman bagi bon Itali perlu berada di bawah 6 peratus jika negara itu ingin menyelesaikan masalah hutang awam dengan seberapa segera. Jika tidak amat lah sukar untuk Itali keluar dari perangkap hutang dalam masa terdekat.

Dengan hutang awam melebihi 120 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta ekonomi yang lemah selama lebih sedekad, Itali merupakan tumpuan utama krisis Eropah dan dijangka terlalu besar untuk diselamatkan jika krisis tersebut gagal ditangani. Apa lagi bila pakar ekonomi meramalkan pakej bantuan untuk Itali sahaja menghampiri 2 trillion euro.

Nampaknya mengurus negara tidak semudah menjadi pemilik kelab terkemuka A.C. Milan yang merupakan Juara Liga Juara-juara Kelab Eropah sebanyak tujuh kali.
Milan! Milan! Solo con te, Milan! Milan! Sempre per te

Saturday, October 29, 2011

Setiap Krisis Ada Pakejnya

Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) yang berjumlah USD 1.4 trillion merupakan pakej terbesar seumpanya. Pakej tersebut bagi memastikan ekonomi Eropah dengan KDNK yang dianggarkan USD 16 trillion pada 2010 tidak mengalami kemelesetan teruk.

Pakej ransangan Amerika Syarikat pada 2008 dikenali dengan Troubled Asset Relief Program (TARP) diluluskan dibawah pentadbiran Presiden Obama berjumlah USD 700 billion. KDNK Amerika Syarikat pada 2008 berjumlah USD 14 trillion.

Krisis ekonomi Asia pada tahun 1998 melanda Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia dan Korea Selatan ketika KDNK negara-negara tersebut berada dipuncaknya iaitu sekitar USD 970 billion. Dana Monetari Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan negara-negara Asia yang lain memberi bantuan yang dianggarkan menghampiri USD 140 billion (tiada angka rasmi) kepada negara-negara tersebut.

Malaysia bagaimanapun menolak pakej IMF dan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), menguruskan krisis dengan bantuan kewangan dalaman. (Saya masih mencari angka billion yang digunakan bagi menangani krisis 1998 tersebut).

Pakej bantuan dan ransangan ekonomi adalah langkah yang sangat perlu bagi memastikan ekonomi sesebuah negara terus bergerak walaupun dalam kadar yang perlahan. Apatah lagi dengan era globalisasi ini krisis kewangan menular ke dari negara kecil sehingga wilayah ekonomi seperti Eropah, Asia, Asean, dan Timur Tengah. Kemelesetan ekonomi membawa implikasi yang buruk seperti pengangguran, penurunan nilai matawang, kenaikan kadar pinjaman, penyusutan ekonomi dan lain-lain.

Dengan pakej yang baik dan pantas maka krisis ekonomi dapat dielakkan.

Thursday, October 27, 2011

Potong Rambut dan 1 Trillion

Akhirnya setelah 10 jam bermesyuarat di Brussels, Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai kata sepakat untuk menaikan pakej Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) dari 440 billion euro kepada 1 trillion euro (1.4 trillion dolar amerika)

Jumlah ini lebih besar dari tabung TARP bagi menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat pada tahun 2008 yang berjumlah 700 billion dolar amerika.

Kesatuan yang mempunyai keanggotaan 17 negara Eropah itu juga telah berjaya memujuk pemegang-pemegang bond Greece untuk menerima 50% potongan (bond haircut). Ini adalah satu pakej yang agak menarik di mana pihak kerajaan Greece dan pemegang-pemegang bond berada di dalam situasi menang-menang. (janji tak bankrap!)

Antara isi kandung pakej bantuan tersebut adalah:

-       Pinjaman modal untuk bank-bank eropah. (sekurang-kurangnya 106 billion euro)
-       Memberikan peranan yang lebih besar kepada IMF.
-       Komitmen Itali untuk mengurangkan kadar hutang negara.
-       Bank Pusat Eropah akan terus membeli bond di pasaran kedua.

Persefahaman ini dicapai setelah lebih 20 bulan Kesatuan Eropah bermesyuarat dan dijangka akan memberikan kesan positif kepada pasaran serantau. Langkah utama adalah untuk memastikan krisis hutang Greece tidak menular ke negara Itali dan seterusnya.
Sebelum itu di penghujung mesyuarat, Presiden Perancis,Nicolas Sarkozy telah berbeza pendapat dengan Chancellor Jerman, Angela Merkel di dalam bagaimana menggunakan EFSF sebagai banteng terakhir pertahanan ekonomi Eropah.
Presiden Perancis itu juga tidak berlengah-lengah dengan mengumumkan akan meminta bantuan China di Perjumpaan Negara-negara Maju (G-20) yang akan berlansung di Cannes, November nanti.
Sebuah penutup drama Eropah yang agak melegakan... Buat masa ini.

Wednesday, October 12, 2011

Drama Eropah

Krisis hutang Eropah memasuki episod baru yang lebih mencabar apabila parlimen Slovakia, salah satu dari 27 negara di bawah Kesatuan Eropah (EU), menolak usul bantuan Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) dengan alasan mereka terlalu kecil untuk memberi bantuan kewangan yang berskala besar. Malah negara Greece dianggap lebih maju dari negara kecil eropah timur tersebut.

Sekali imbas seolah-olah mereka sedang bermain drama di mana ada negara yang rela membantu dan ada yang memberi syarat sebelum meluluskan bantuan berbillion Euro. Ditambah dengan Amerika Syarikat yang sibuk melobi EFSF agar segera dipersetujui sebelum krisis merebak ke tanah 'Uncle Sam'.
Ada beberapa faktor yang mungkin membuatkan EU tidak bersefaham dalam menangani  krisis hutang tersebut. Ini semua kerana hal yang sama pernah berlaku kepada mereka.
Eropah Timur pernah dilanda krisis kewangan pada 2008 dengan dibebani hutang sehingga Hungary, Latvia dan Romania terpaksa dibail-out oleh Dana Monetari Antrabangsa (IMF). Maka bermulah kemelesetan ekonomi, kadar pengangguran yang tinggi, cukai dan faedah pinjaman yang naik berlipat ganda. Kini selepas 3 tahun, ekonomi mereka berada lebih baik dari rakan-rakan eropah barat yang lain.
Negara-negara Skandinavia pula mengalami hal yang seumpanya pada awal 1990an dengan keruntuhan bank-bank Sweden dan Finland. Plotnya hampir sama dimulai dengan kadar faedah pinjaman yang rendah seterusnya mengakibatkan permintaan hartanah yang melambung dan disudahi dengan krisis hutang.
Ini semua akibat berlebihan dalam memberi pinjaman dan ada pula pihak yang memanipulasi sistem kewangan tersebut. ‘Krisis Skandinavia: Bagaimana Menyelesaikan Krisis Hutang Negara’ menjadi buku teks matapelajaran kewangan oleh negara-negara seluruh dunia.
Jadi, apa perlu dirisaukan?

Thursday, October 6, 2011

Jendela Yang Menarik

Kita semakin hampir ke penghujung tahun dan satu istilah yang popular akan muncul di suku terakhir setiap tahun iaitu 'menghias jendela' atau window dressing.

Window dressing adalah satu istilah dalam dunia kewangan merujuk kepada aktiviti pembelian saham pada suku terakhir setiap tahun yang akan lebih memberi keuntungan pada tahun hadapan menggantikan saham yang dijangka tidak dapat berdaya saing.

Contoh: Rumahdana X memiliki pegangan dalam 3 buah syarikat iaitu A, B dan C. Apabila terdapat laporan Syarikat C mempunyai masalah dalam perniagaan maka Rumahdana X akan menggugurkan Syarikat C dan menggantikan dengan syarikat lain yang mempunyai kedudukan yang lebih kukuh.

Strategi ini dilakukan syarikat-syarikat saham amanah, insurans/takaful, syarikat pelaburan berportfolio negeri-negeri kerana syarikat-syarikat ini mempunyai pelaburan yang pelbagai dan biasanya memegang lebih dari 20 syarikat bursa pada satu masa.

Tujuan utama adalah untuk memberi laporan yang baik kepada para pelabur bahawa akaun rumahdana berada dalam keadaan positif. Apabila akaun pelaburan kelihatan elok maka para pelabur akan terus berminat untuk melabur.

Ini akan mengakibatkan aktiviti jual beli di bursa saham sangat rancak setiap penghujung tahun dan ditutup dengan positif serta keuntungan.

Monday, September 26, 2011

Nujum Pak Belalang Moden

Kita pasti ingat dengan watak Nujum Pak Belalang lakonan hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dijulang setinggi-tingginya apabila dapat menjumpai barang yang hilang. Ya! anda hanya perlukan satu tilikan yang tepat 100% dan pendapat anda akan diterima seterusnya walaupun nisbah ramalan seterusnya adalah 50:50.

Begitu juga dengan ‘pakar ekonomi‘ yang terkemuka tidak memiliki sebarang kelebihan dalam menjangkakan arah tuju pergerakan pasaran saham. Adakalanya tepat dan ada kalanya menyusahkan para pelabur.

Marc Faber yang terkenal dengan 'Gloom, Boom and Doom Report’, menggesa menjual dolar Amerika pada pertengahan Ogos 2011 dan membeli emas tetapi secara tiba-tiba menukar ramalan bola kristalnya pada 26 September dengan menyatakan emas akan jatuh sekitar USD1,100.

Faber mulai terkenal apabila menasihati pelaburnya untuk keluar dari bursa Amerika seminggu sebelum kejatuhan saham pada Oktober 1987. Bagaimanapun Faber mengatakan ramalannya itu adalah secara kebetulan.

Nouriel Roubini pula menjadi terkenal kerana meramalkan dengan tepat krisis sub-prima Amerika Syarikat dan kemelesetan ekonomi dunia 2008. Namun ramalannya tentang kemelesetan 2009 tidak mengena dan kemelesetan 2010 juga tidak menjadi kenyataan.

Professor Nassim Taleb penulis buku ‘The Black Swan’ mengutarakan satu pandangan iaitu Teori Angsa Hitam di mana kita terlalu bergantung kepada analisa terdahulu tanpa mengambil kira faktor kejutan. Kejadian besar seperti krisis ekonomi, perang dunia, wabak berjangkit atau tsunami tidak pernah difaktorkan dalam perkiraan hala tuju ekonomi kerana manusia tidak mampu memahami trend masa hadapan.

Mentor kepada Warren Buffet iaitu Benjamin Graham pernah berkata, "Apa yang aku tahu selama 60 tahun tentang Wall Street adalah manusia tidak pernah berjaya dalam meramal apa yang akan berlaku kepada pasaran saham.

* tulisan ini berlawanan dengan artikel ‘Bebuih Emas’ dari segi ramalan pakar. Ia untuk memberikan dimensi berlainan terhadap ekonomi.

Friday, September 23, 2011

Keretapi Proksi Ekonomi

Di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran dengan krisis hutang nampaknya ada satu indikasi yang agak menarik untuk disentuh.

Data daripada Persatuan Keretapi Amerika (Association of American Railroads) mencatatkan jumlah nilai purata gerabak sebanyak 381,831 pada bulan Ogos adalah yang tertinggi sejak Oktober 2008. Penghantaran tersebut adalah meliputi muatan untuk barangan industri.

Berita ini nampaknya memberikan sedikit nafas lega bagi pemain-pemain pasaran saham Dow Jones daripada sebarang kemungkinan kemelesetan ekonomi berganda.

Kita boleh mengandaikan jika ada pergerakan ekonomi maka adanya barangan dihasilkan dan bertukar tangan. Walaupon angka pertumbuhan agak perlahan tetapi sebarang gambaran positif dapat menentukan hala tuju pasaran sebelum akhir tahun.

Maka tidak hairan lah jika Warren Buffet, billionaire terkemuka Amerika Syarikat, telah membeli keseluruhan saham syarikat keretapi Burlington Northern Santa Fe Corp dengan nilai USD34 billion pada pertengahan 2009. Belian ini dianggap tidak masuk akal ketika ekonomi dunia baru pulih dari krisis sub-prima.

Perkhidmatan keretapi telah mula wujud sejak 500 tahun dahulu sebagai kenderaan untuk pemindahan barangan dan manusia.

Wednesday, September 21, 2011

Bebuih Emas?

Siang tadi sempat berjumpa seorang rakan/pelabur yang lama tidak berjumpa. Rupanya dia sudah 5 bulan tidak bekerja kerana eksiden dan kakinya mengalami kecederaan teruk sehingga terpaksa dimasukkan besi. Untung juga ada socso dan insurans/takaful (penting tu!).

Sempat berbual topik-topik harian bersama seorang lagi rakan yang gila bola sehingga bab pelaburan emas (gold). Pelaburan emas telah menjadi sleeper hit pada tahun 2010 dan menjadi semakin popular sejak 2011. Ditambah dengan kejatuhan ekonomi eropah sejak krisis hutang Greece maka makin ramai beralih kepada pelaburan gold.

Ahli kewangan (yang pro-emas) mendakwa harga emas akan naik sehingga USD2,000 bagi 1 ounce .999 dan harga emas telah naik sehingga USD1,907.88 pada 5 September 2011.

Ini juga mengakibatkan permintaan bilik kebal untuk simpanan emas meningkat. Sebuah firma Swiss Precious Metal yang mempunyai bilik kebal seluas 7 ekar di Singapore FreePort (bersebelahan Lapangan Terbang Changi) telah hampir kehabisan ruang peti simpanan akibat permintaan mendadak sebanyak lima kali ganda untuk tujuan penyimpanan emas.

Bagaimanapun ada beberapa orang mahaguru pelaburan mempercayai harga emas telah melampaui nilai sebenar ditengah-tengah kegilaan belian ketika ramai yang menjangkakan ekonomi akan jatuh seperti krisis sub-prima 2008

Gorge Soros (ya.. Soros Mahathir tu!) dilaporkan telah menjual beribu-ribu unit pegangannya dalam dana-dana emas (Gold ETP, SPDR Gold, iShare Gold) mulai bulan May 2011. Ketika itu nilai emas adalah sekitar USD 1,570 dan Soros pernah menyatakan emas sebagai "The ultimate asset bubble".

Warren Buffet, 81, (manusia ketiga terkaya di dunia dengan nilai aset USD50 billion) bos Bekshire Hathaway itu menyatakan "membeli emas adalah membuang masa".

Jim Rogers, 68, rakan Soros di dalam Quantum Fund yang sangat masyhur (kini menetap di Singapura) enggan membeli emas lagi dengan memberi perumpamaan "saya tidak mahu melompat ke dalam bas yag sedang bergerak laju". Bagaimanapun Rogers enggan mengatakan nilai emas sudah berada di tahap bebuih.

Lantas saya teringat seorang rakan pejabat yang bakal kawin akhir tahun ini ketika menemaninya ke kedai emas. Moga beliau dapat membeli emas dengan harga yang berpatutan.

* ketika artikel ini ditulis nilai emas berada sekitar USD1,796

Friday, September 16, 2011

Seorang Pedagang Bernama Adoboli

Seorang pedagang pasaran kewangan (rogue trader) yang bekerja untuk gergasi kewangan UBS yang berpengkalan di Switzerland, dituduh melakukan penipuan sebanyak RM6 billion.

Kweku Adoboli, 31, telah ditahan di apartment mewahnya di Whitechapel, timur London atas penipuan yang dianggap sebagai kerugian terbesar dalam sejarah pasaran kewangan London yang dilakukan oleh seorang pedagang. Kes seumpamanya adalah seperti Nick Leeson (Bank Barings, 1995 dengan kerugian RM4 billion) dan Jerome Kerviel (Societe Generale, 2008, RM24 billion)
Adeboli yang berasal dari Ghana terkenal dengan seorang yang 'gigih bekerja, suka berpoya-poya' telah meletak jawatan sebaik sahaja menyedari kerugian yang dilakukannya dan telah meletakkan nota "perlukan keajaiban" di Facebooknya.
Spekulasi mengatakan kerugian dagangan matawang berpunca apabila Bank Pusat Switzerland secara tiba-tiba menurunkan nilai matawang franc minggu lalu dan menyebabkan kerugian besar-besaran akaun forex yang dilakukan secara tidak sah. Dia didapati telah melakukan aktiviti penipuan tersebut sejak dari tahun 2008 melibatkan beberapa akauan ETF (Exchange Traded Fund).

- nampaknya bank-bank pelaburan boleh masih boleh dijadikan seperti kasino untuk berjudi.

Thursday, September 15, 2011

Wong Fei Hong

Seperti karakter Wong Fei Hong yang menolak penindasan, ironisnya Master Wong yang terkenal menentang penjajah barat kini datang memberi bantuan.

Negara China telah memutuskan untuk membantu negara barat dalam menangani krisis hutang yang menghantui PIIGS (Portugal, Itali, Ireland, Greece, Spain). Dengan simpanan $3.2 trillion mata wang asing nampaknya China memang berpotensi menjadi sebuah bank global (menggantikan IMF mungkin).

Ketika Amerika Syarikat mengalami krisis sub-prima pada 2008 setelah runtuhnya Bear Sterns, China merupakan antara sumber oksigen bagi menyokong sistem kewangan agar sentiasa stabil.

Sememangnya China perlu membantu rakan dagangan mereka. Bayangkan jika negara-negara pengimport utama barangan Made In China bankrap, siapa lagi hendak memberi barangan keluaran China? Dan China nampaknya terang-terang lebih berselera untuk membantu Itali (Ferrari dan Prada buatan China?).

Bagaimanapun dengan bantuan tersebut China ingin status mereka dinaikkan segera dari negara non-market economy kepada market economy. Satu situasi menang-menang kerana status tersebut hanya dapat dicapai secara automatik pada tahun 2016.

Berita ini dirai secara positif oleh pihak barat dan bursa saham seluruh dunia terus naik kecuali Bursa Malaysia yang nampaknya dalam mood cuti.

Selamat Hari Malaysia 2011