Wednesday, November 9, 2022

Menilai Haiwan Mistik dan Politik

"Kalau kamu nak kaya, buat bisnes, tak payah masuk politik."

Begitulah ceramah politik  Sdr. Rafizi Ramli ketika menerangkan perjalanan syarikat data raya beliau (Invoke) sehingga dijangka mampu mencapai RM50 juta pada satu hari nanti.

Bagaimanapun ia tidak lah semudah itu. Malah saya pasti para peniaga juga setuju perniagaan memerlukan komitmen yang lebih tinggi dari bekerja makan gaji. Tiada masa untuk naik di atas bumbung dan melihat burung-burung berterbangan ketika masa senggang. 

Perlu diingat setiap Facebook pasti ada WeWork. Ada yang menjadi dan ada yang tidak menjadi. 

Mari kita memahami perjalanan penialaian sebuah syarikat secara ringkas. 

Baik, untuk sebuah syarikat pemula (start-up) bermula, ia perlu melalui beberapa proses. 

Pada mulanya, pemilik syarikat akan menggunakan wang sendiri untuk memulakan perniagaan (contohnya RM2 juta). Malangnya RM2 juta hanya mampu membawa perniagaan tersebut ke tahap tertentu. Maka pemilik memerlukan dana baharu untuk ke tahap seterusnya dan alternatif terbaik selain pinjaman bank adalah melalui dana persendirian. 

Maka pemodal teroka (venture capitalist atau VC) akan menyuntik dana persendirian yang diperlukan. Dan setiap siri suntikan VC akan memberi nilaian yang lebih besar dari suntikan sebelumnya. Contohnya jika suntikan pertama (Siri A) memberi nilai RM10 juta, suntikan kedua (Siri B) pula akan memberi nilai persendirian sehingga RM30 juta sehinggalah ada potensi diapungkan kelak (IPO). 

Penilaian ini diberikan atas beberapa faktor seperti, saiz pasaran, keuntungan atau kecekapan pengurusan. Bagaimanapun proses di atas lebih cenderung untuk memberikan penilaian yang lebih tinggi kerana pelabur awal inginkan nilai pelaburan mereka sentiasa naik. Penilaian mereka juga tidak melalui proses ketat seperti syarikat senaraian awam. 

Maka sebab itulah ada syarikat haiwan mistik unicorn ini dinilai semula (haircut) malah ada yang mengecut nilainya sebelum diapungkan di pasaran saham. 

Sebabnya? Pelbagai - seperti penilaian yang berlebihan (overblown), kejatuhan keuntungan dan masalah tadbir urus korporat. Maka jadilah syarikat yang dinilai pada awalnya seperti WeWork, USD47 bilion jatuh ke USD10 bilion, Klarna (GBP37.5 bilion ke GBP6.4 bilion) dan Square (USD6 bilion ke USD2.2 bilion). 

Maka kita perlu berhati-hati dengan segala dakwaan tersebut. Bagaimanapun saya tidak menafikan banyak syarikat yang berjaya melepasi penilaian pra-IPO. 

Subjek penulisan ini berkisar haiwan mistik, unicorn, sementelah manusia juga adalah 'haiwan politik' yang juga perlu dinilai dari semasa ke semasa. 

Selamat maju jaya Sdr. Rafizi di dalam kedua bidang yang diceburi. 

* Aristotle percaya manusia adalah haiwan politik kerana kita adalah makhluk sosial yang mampu bertutur serta mempunyai penaakulan moral. 

* Syarikat Unicorn - syarikat persendirian yang mencecah nilai USD1 bilion. 

Sumber:

WSJ - Anatomy of an IPO Valuation, 2019. 

https://www.proactiveinvestors.co.uk/companies/news/990133/unicorn-companies-will-have-to-take-more-valuation-haircuts-experts-forecast-990133.html

Thursday, October 27, 2022

Perut Siapa Dulu

Perletakan jawatan Liz Truss menunjukkan kapitalis yang menguasai pasaran saham dan modal mampu menundukkan sebuah pemerintahan yang mempunyai polisi ekonomi yang caca-marba. 

Malah mempercepatkan pengunduran  PM UK ke-56 itu adalah kesilapan beliau mengganggu kecekapan kumpulan perlaksana yang tidak sehaluan dengan cara polisi mi segera itu dirangka. 

Pengunduran ini rasanya lebih laju dari sebuah revolusi terhadap seorang diktator. 

Oleh itu parti mana pun yang memerintah memerlukan dua perkara 

1. Pemerintahan yang stabil

2. Ekonomi yang mapan

Bagaimanapun secara aturannya, perut kapitalis perlu diisi dahulu sebelum rakyat. 

Tuesday, October 25, 2022

Adi Kuasa Tertangguh.

Sedang UK mendapat PM baharu, China juga mengorak langkah untuk 5 tahun mendatang dengan muka-muka baharu yang pro Presiden Xi Jinping. Ini menandakan segala keputusan Presiden Xi bagi urusan domestik dan antarabangsa bakal mendapat sokongan penuh oleh 'yes man'. 

Para penganalisa ekonomi dan politik antarabangsa menjangkakan China akan lebih 'keras' dari sebelumnya yang lebih terbuka dan mesra export / pelaburan luar ketika fasa pemerintahan Hu Jintao (2002-2012). 

Di dalam pemilihan Jawatan Kuasa Pusat, Presiden Xi telah menekankan bahawa visi China 2050 akan berunsurkan 'sosialisme modenisasi bercirikan China' bersama 'dwi edaran'. Xi juga menekankan pentingnya keselamatan dan ketenteraan di dalam membangun negara. 

Presiden Xi dilihat cuba mencari alternatif kepada perkembangan ekonomi ala Barat kerana ekonomi acuan kapitalis akan mencorak rakyat China berfikir cara Barat yang lebih liberal. Ini akan menyukarkan pihak berkuasa mengawal tingkah laku mereka. 

Model dwi edaran (dual circulation) bermaksud China merancang untuk melestarikan eksport yang semakin meningkat (edaran antarabangsa) dan permintaan dalam negeri (edaran domestik), dengan kedua-duanya mengukuhkan satu sama lain. 

Antara lainnya adalah model 'kemakmuran bersama' ala China yang bukan bermaksud dasar gaji minimum atau negara berkebajikan (welfare state) tetapi melalui sumbangan sektor korporat kepada golongan yang memerlukan. 

Bagaimanapun, dasar ekonomi tersebut dibayangi isu keselamatan kerana perkataan 'keselamatan' disebut sebanyak 91 kali (Bloomberg Analysis), berbanding 60 untuk perkataan 'ekonomi'. Situasi ini adalah berlaku sejak Parti Komunis China berkuasa sejak 1949. 

Ini tidaklah menghairankan dengan iklim politik yang tegang dengan pencaturan pemain-pemain antarabangsa seperti Putin (Ukrain-Russia), Macron (EU-NATO), Biden (Pivot Asia), membuatkan Xi perlu lebih defensif. Secara tak lansung ia akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi China.

Oleh itu cakap-cakap yang mengatakan bahawa China akan mengatasi Amerika Syarikat dari segi kuasa ekonomi pada tahun 2028 perlu disemak semula.

Sumber:

https://carnegieendowment.org/chinafinancialmarkets/85571

https://www.nytimes.com/.../hu-jintao-great-gamble.html

Sunday, October 9, 2022

EKONOMI MELELEH, MELESET ATAU MENGILAU?

Pelabur di UK nampaknya tidak begitu gemar dengan pengumuman bajet mini oleh Parti Konservatif UK, pimpinan PM baharu mereka Liz Truss.

Bursa saham FTSE100 turun 2% dan pound Sterling jatuh ke paras terendah sejak 37 tahun berbanding dolar Amerika selepas pengumuman tersebut.
GBP/MYR juga dah turun ke RM5.00, pertama kali sejak 2013.
Di dalam bajet tersebut, Menteri Kewangan yang baharu, Kwasi Kwarteng telah merangka pelan pemulihan ekonomi dengan pekej fiskal berupa potongan cukai berjumlah GBP161 bilion untuk 5 tahun.
Ia bertujuan untuk memberikan lebihan tunai kepada semua strata pembayar cukai bagi menghadapi krisis inflasi dan potensi kemelesetan ekonomi tahun mendatang.
Yang menjadi isu adalah golongan atasan menjadi penerima terbesar pekej tersebut. Ia berdasarkan teori Lelehan Ekonomi (Trickle-down economics) iaitu golongan atasan (khasnya para peniaga) akan mula melabur dengan lebihan duit di tangan.
Malah Presiden US, menempelak bahawa teori ini tidak akan berhasil sama sekali. Secara amnya pelabur melihat pelan ini akan gagal dan jika tidak ditangani dengan cermat, ekonomi UK akan jatuh lebih teruk.
Bajet fiskal ini menjadi ujian berterusan bagi PM Truss sedang UK meratapi pemergian Ratu Elizabeth II. Tapi bagi rakyat Malaysia yang menjadikan UK rumah kedua mereka, kejatuhan GBP adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.
Dengar British!
Eh?
Sumber:

BAJET BAGUS

Tidak sampai seminggu bajet mini dibentangkan, Menteri Kewangan Britain baharu mereka terpaksa membuat sedikit 'pusingan u'.

Ini terpaksa dilakukan setelah mendapat kecaman rakyat dan bagi menangani pasaran kewangan yang jatuh teruk setelah pengumuman tersebut. Dengan itu cukai 45% terhadap golongan atasan tetap akan dikenakan.
'Teori Lelehan Ekonomi' sangat tidak sesuai kerana ketika rakyat kini dibebani dengan bil utiliti dan inflasi yang tinggi, bajet tersebut memberi kelebihan kepada golongan atas. Ia sangat sensitif kepada poket rakyat di bawah.
Dari segi disiplin fiskal pon tidak sesuai kerana setiap potongan cukai hanya akan digantikan dengan hutang kerajaan. Ketika ekonomi tenat, ia akan menambahkan beban kepada kerajaan yang hendak memulihkan ekonomi yang perlu perbelanjaan yang besar.
Tetapi kenapa Parti Tory yakin pada mulanya ia akan berjaya?
Kerana sememangnya dasar parti konservetif tersebut adalah pro-peniaga. Ini dapat dilihat pada laman web mereka -
"Kami tahu perniagaan adalah nadi kepada ekonomi yang berjaya. Itulah sebabnya kami akan terus menyokong perniagaan dengan cukai yang lebih rendah,.."
Parti konservatif UK ini juga banyak disokong oleh billionaire di UK yang mendanai kempen pilihanraya mereka.
Mahu tak mahu mereka perlu selari dengan dasar parti dan juga akur kepada pengundi utama mereka.
Bagaimana pula dengan Belanjawan 2023 Malaysia pada Jumaat ini? Diharapkan tidak akan meniru kesilapan tersebut.

BELANJAWAN 2023, PLOT 1999

Berkenaan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul semalam;

- Ia bajet berkembang (expansionary), bajet terbesar dari tahun-tahun sebelumnya bagi merancakkan ekonomi domestik.
- Hampir RM100 bilion bajet defisit (baki belanja tolak hasil kerajaan) dengan unjuran 5.5% dari KDNK (6.4% (2021), 5.8% (2022). Perkembangan ekonomi membantu penurunan tersebut.
- Penurunan subsidi - Dijangka kenaikan tarif elektrik 2023 akan dikenakan setelah tertangguh kecuali golongan miskin tegar di bawah program e-Kasih (RM40).
Jangkaan saya bagi 2023 -
Kadar inflasi (permintaan) dijangka kekal tinggi pada awal 2023 kerana;
i. Sehingga RM2,500 diberikan kakitangan kerajaan yang layak (Bonus Hari Raya, Bantuan Khas, kenaikan gaji)
ii. Bantuan BKM (Disember 2022)
iii. Bantuan Awal Persekolahan (RM150 setiap murid)
iv. Subsidi dikurangkan mengakibatkan kenaikan harga barang.
Memandangkan unjuran ekonomi 2023 agak rendah (4-5%) berbanding 2022 (5-6%), diharapkan perbelanjaan awal tahun dapat merancakkan ekonomi dan memberi nafas bagi para peniaga.
Kita perlu menunggu perbahasan Belanjawan di parlimen pula sebelum diluluskan.
Tetapi jika PRU 15 diumumkan dalam jangka masa terdekat, peristiwa 1999 akan berulang di mana tidak sampai dua minggu Belanjawan 2000 dibentangkan oleh Tun Daim selaku Menteri Kewangan, Tun Mahathir telah membubarkan parlimen bagi memberi laluan PRU ke 10.
Sama-sama kita nantikan...