Wednesday, December 21, 2011

Bantuan Mega

Bank Pusat Eropah (ECB) mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan dana berjumlah 489 billion Euro ($645 billion dolar Amerika) dengan pinjaman tiga tahun. Dana tersebut bertujuan membantu kecairan bank-bank di Eropah pada mulanya dianggarkan sebanyak 293 billion Euro dengan nilai bunga sebanyak satu peratus setahun. Satu nilai pembayaran balik yang tidak dapat ditolak oleh 523 bank eropah yang dahagakan modal niaga.


Bantuan tersebut bagi memastikan kecairan wang cukup untuk mengelak terhentinya sistem kewangan serantau. ECB yang bertanggungjawab dalam urusan perbankan Eropah sebelum ini ditegah untuk turut serta dalam pembelian bon-bon kedaulatan.


Bagaimanapun berita mega ini tidak disambut baik oleh bursa-bursa Eropah dan pasaran dagangan hadapan Dow Jones.


Mungkin dengan dana yang begitu mega membuatkan pemerhati kewangan agak berhati-hati dalam mengira sebesar mana impak krisis kewangan Eropah kepada pasaran dunia.

Tuesday, December 20, 2011

Buruk Siku Moden


Bank Pusat Eropah (ECB) mempunyai undang-udang yang melarang pembelian bon-bon kedaulatan (sovereign bonds) negara-negara Eropah yang mengalami masalah kecairan. ECB hanya perlu bertanggungjawab ke atas kecairan bank-bank rakan anggota dan bukan menyelesaikan masalah negara.

Perlu diingati bahawa krisis kewangan Eropah ini berlaku kerana negara seperti Greece, Itali, Sepanyol, Ireland dan Portugal gagal dalam melunaskan pembayaran bon kedaulatan pada waktunya dan perlu meminjam kepada sumber luaran untuk pembiayaan semula.

Ditambah dengan janji negara seperti China, Brazil, India yang masih tinggal janji (belum ada kata putus..), pembayaran bon melebihi tujuh peratus setahun yang membebankan maka kiblat kecairan terarah kepada ECB. Bagaimanapun Cancellor Jerman enggan berbuat demikian kerana ECB perlu menjadi badan yang kekal bebas.

Bagi menyelesaikan masalah ini ECB menggunakan undang-undang yang sedia ada. Dalam Artikel 23 ada mengatakan “ECB boleh menjalankan urusan perbankan termasuk hubungan ke negara ketiga, organisasi antarabangsa, termasuk operasi meminjam dan memberi pinjam”.

Jadi ECB akan memberikan pinjaman kepada IMF dan IMF akan menggunakan dana tersebut untuk operasi menyelamat negara-negara di dalam zon eropah seperti  bailout, bantuan kredit dan lain-lain. Jumlah yang ditawarkan adalah 150 billion euro dan 50 billion euro lagi dari negara-negara diluar Kesatuan Eropah.