Friday, November 18, 2011

Bos Merkel

Kejatuhan pasaran saham minggu lepas disebabkan satu perkara utama, Angela Merkel dari Jerman.
Apabila kebanyakan negara Eropah ingin Bank Pusat Eropah (ECB) dibenarkan untuk membeli bon Eropah, menurunkan kadar pinjaman seterusnya dapat membantu pertumbuhan. Dengan kata mudah, menyelesaikan masalah dengan menabur duit ke dalam pasaran kewangan. Merkel membantah cadangan tersebut.
Menjadi pemberi dana terbesar di dalam Kesatuan Eropah menjadi satu kelebihan kepada Jerman iaitu kata putus dalam semua hal!
Merkel menegaskan ECB tidak boleh menjadi pemberi peminjam terakhir - 'lender of last resort'. ECB kebiasaanya menjadi pemberi pinjaman terkahir untuk sistem kewangan tetapi tidak kepada kerajaan yang mengalami masalah.
Memudahkan urusan Merkel adalah gelombang perubahan pentadbiran di Greece, Itali dan Sepanyol. Pemimpin lama seperti Berlusconi (Itali) dan Papandreou (Greece) telah meletak jawatan membuatkan urusan untuk memberi arahan lebih mudah.
Perdana Menteri British, David Cameoran juga terpaksa mendengar titah perintah Merkel sedangkan sebelum ini UK sentiasa meminggirkan diri dalam urusan Kesatuan Eropah. Ini kerana sebarang perubahan di dalam hala tuju Eropah akan memberikan implikasi kepada UK.
Merkel menyedarkan pihak British dan negara Eropah lain bahawa menggunakan duit untuk mengembalikan kredibiliti memang perlu, tetapi jangan berlakon dengan kekuatan kewangan yang mereka tidak miliki.
Berasal dari negara yang terkenal dengan kejuruteraan juga memberi idea kenapa Jerman begitu berhati-hati dalam urusan kewangan.

Sunday, November 13, 2011

Mengata Greece, Itali Serepih

Perdana menteri Greece, George Papandreou menjadi mangsa terbaru krisis kewangan Eropah setelah meletak jawatan akibat tekanan dari rakyat Greece dan Kesatuan Eropah. Beliau dianggap gagal mengemudi ekonomi Greece di dalam menyelesaikan hutang negara dengan lebih berkesan. Tempat beliau kini diteraju oleh Lucas Papademo.

Menyusul (seperti teori domino - ingat 'musim bunga arab'?) adalah Silvio Berlusconi, seorang veteran di kalangan pemimpin Eropah, telah meletakkan jawatan Sabtu lepas. Perletakan jawatan beliau pada mulanya bersyarat seperti Papandreou, “Luluskan pakej bantuan kewangan, dan saya akan meletak jawatan.” Syarat tersebut membuatkan pasaran saham seluruh dunia memberi reaksi negatif.

Bekas Perdana Menteri Itali tersebut mengakhiri era penuh skandal politik Itali dan disambut dengan meriah rakyat Itali di tengah-tengah bandaraya Rom. Perjalanan politik beliau penuh warna-warni serta terlibat dalam skandal seks melibatkan langganan pelacur bawah umur sehinggalah didakwa kerana penipuan cukai.

Mengikut Forbes, Berlusconi adalah orang ke-tiga terkaya di Itali dengan aset berjumlah 9 billion euro (2010). Aset pelaburan beliau merangkumi media (stesen tv, suratkhabar, penerbitan, perfileman), perbankan, insuran dan sukan.

Itali merupakan negara Eropah yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar menjadi kelam-kabut apabila jualan bon bagi 10 tahun naik ke paras 7.6 peratus, satu angka yang membuatkan negara Ireland, Portugal dan Greece bergegas meminta bantuan antarabangsa.

Kadar pinjaman bagi bon Itali perlu berada di bawah 6 peratus jika negara itu ingin menyelesaikan masalah hutang awam dengan seberapa segera. Jika tidak amat lah sukar untuk Itali keluar dari perangkap hutang dalam masa terdekat.

Dengan hutang awam melebihi 120 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta ekonomi yang lemah selama lebih sedekad, Itali merupakan tumpuan utama krisis Eropah dan dijangka terlalu besar untuk diselamatkan jika krisis tersebut gagal ditangani. Apa lagi bila pakar ekonomi meramalkan pakej bantuan untuk Itali sahaja menghampiri 2 trillion euro.

Nampaknya mengurus negara tidak semudah menjadi pemilik kelab terkemuka A.C. Milan yang merupakan Juara Liga Juara-juara Kelab Eropah sebanyak tujuh kali.
Milan! Milan! Solo con te, Milan! Milan! Sempre per te