Friday, March 27, 2020

PRIHATIN. Meratakan Lengkungan Kedua

Ok. Saya percaya ramai yang lebih kurang telah hadam dengan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang telah disiarkan petang tadi. Total pakej ini berjumlah RM250 bilion.

Memang pada mulanya nampak besar tetapi setelah diperincikan bagi saya ia agak mengecewakan.

Tak lama kemudian bertebaran analisa yang mempertikaikan pakej tersebut sebagai 'helah' YAB PM kerana hanya lebih kurang RM22 bilion dari suntikan fiskal dan lainnya inisiatif pihak GLC dan swasta seperti TNB, KWSP, dan bank-bank. Ini termasuk analisa duit yang Makcik Kiah terima sebanyak RM7,864 berdasarkan manfaat optimal atau 'best-case scenario' sahaja.

YAB PM, kita kan sedang di dalam medan peperangan (we are at war!) kenapa senjatanya kurang ampuh?

Telahan saya, ada 2 sebab kenapa pakej ini agak terhad 'firepower'nya.

1) Mangsa wabak Covid-19 dijangka akan mula berkurangan mulai bulan Mei 2020 di mana keadaan akan kembali normal - walaupun mustahil untuk pulih sepenuhnya.

2) YAB PM tidak mempunyai kuasa penuh untuk meluluskan suntikan fiskal yang berskala besar memandangkan sebarang penambahan belanjawan perlu diperdebatkan dan diluluskan di Parlimen terlebih dahulu.

Pakej PRIHATIN hanya fokus untuk masalah jangka pendek iaitu meminimakan risiko kemelesetan ekonomi agar tidak berlaku secara drastik serta menghadkan pembuangan pekerja disetiap sektor khasnya perkhidmatan. Tunai perlu ada di tangan setiap rakyat Malaysia untuk berbelanja ketika ini - 'Cash is King'.

Dengan menyediakan tunai yang cukup untuk tempoh tersebut, para peniaga tidak perlu mengecilkan operasi atau menutup syarikat kerana permintaan memang ada dengan tunai sedia untuk dibelanjakan. Begitulah rayuan YAB PM sehingga memperkenalkan Program Subsidi Upah. Tetapi insentif RM600 mungkin tidak begitu menarik?

Merujuk telahan kedua, jika PM tidak berkuasa penuh terhadap suntikan bajet fiskal RM22 bilion tersebut, bagaimana ia boleh diluluskan khusus buat rakyat? Belanjawan 2020 adalah belanjawan yang defisit dan memerlukan pinjaman sebanyak RM52 bilion (-3.2%).

Cuba kita baca teks di penghujung ucapan beliau:

"Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi. Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang."

Kerajaan tidak guna pinjaman lansung? Desas-desus mengatakan defisit yang bertambah disebabkan PRIHATIN akan dibiayai secara 'off budget' melalui Akauan Amanah PFI.

Bagaimanapun saya beranggapan YAB PM sedang 'buying time' sehingga wabak benar-benar reda. Beliau cuba untuk menguasai pertempuran-pertempuran awal (kluster wabak, jaminan makanan, kecairan tunai, inflasi, bursa saham, pengangguran) sebelum memenangi peperangan secara menyeluruh (Covid-19, kemelesetan ekonomi) - 'winning the battle before ending the war'.

Setelah keadaan beransur pulih, saya jangka beliau akan melancarkan pakej fiskal dengan penambahan yang lebih baik melalui apa yang pernah YAB PM ke-6 laksanakan pada Januari 2016 iaitu Pengubahsuaian Bajet 2016 (Bajet Recalibrate 2016) akibat kejatuhan harga minyak dunia ke paras 30 dolar setong.

Kebetulan pula sidang Parlimen telah dianjakkan ke 18 Mei ini. Boleh lah ahli parlimen kita yang bijak pandai yang terdiri dari bekas PM ke-4,7,7i (Tun M), bekas PM ke-6 (DSN), termasuk menteri-menteri kewangan yang lalu (YB Lim, YB Anuar Ibrahim) berbahas untuk tujuan tersebut seterusnya merangka polisi jangka panjang untuk kelestarian ekonomi negara.

Setelah percubaan meratakan lengkungan wabak telah dilakukan, kini masa untuk meratakan lengkungan kemelesetan ekonomi.

Malaysia Boleh!

Sumber:

https://www.pmo.gov.my/2020/03/pakej-rangsangan-ekonomi-prihatin-rakyat-prihatin/

https://www.bnm.gov.my/files/Budget2016_Recalibration.pdf

Tuesday, March 24, 2020

Moratorium Yang Lebih Manis Jika..



Moratorium penangguhan pinjaman perbankan atau penangguhan hutang bank sangat sangat disambut baik ketika negara mengalami krisis berkembar Covid-19 dan ekonomi. Ia memberikan banyak kelegaan kepada peminjam dan juga para peniaga yang bakal menerima tempias pengumuman tersebut.

Secara automatik pulak tu! Syabas diucapkan kepada BNM dan MKN kerana prihatin. 

Bagi mengurangkan kesan negatif dari Covid-19, kerajaan seluruh dunia telah menjalankan program moratorium seumpamanya (debt-relief, debt-holiday). Ia adalah satu kesedaran berbanding mengutamakan suntikan modal kepada syarikat-syarikat dan sistem perbankan “too big too fail”. 

Pada mulanya penularan virus ini dianggap hanya akan memberi kesan besar terhadap penawaran - perniagaan terhenti daripada mengeluarkan produk atau perkhidmatan buat sementara. Itupun sektor-sektor terlibat seperti perlancongan dan hospitaliti (hotel, penerbangan, persidangan, sukan dll.).

Tetapi apabila didapati virus Covid-19 ini sangat dahsyat sebarannya sehingga memaksa manusia tidak boleh keluar rumah bagi menghalang jangkitannya maka dua kejutan berlaku serentak iaitu:

Kejutan permintaan dan penawaran (demand and supply shock). 

Apabila ini berlaku di dalam sebuah ekonomi tiada ubat (dari segi fiskal atau monetari) benar-benar dapat memberi penawar kepada dwi-masalah tersebut. 

Dasar fiskal dan monetari adalah alat bagi sebuah kerajaan untuk mengawal tabiat manusia contohnya - untuk berbelanja lebih atau kurang, meningkatkan inflasi atau mengurangkannya. Ini kerana ekonomi berpunca dari tabiat manusia dan tabiat manusia adalah ekonomi. 

Ada kajian berkenaan perlepasan hutang (debt relief) telah dijalankan dan mendapati ia sangat baik untuk sebuah ekonomi samada jangka panjang atau pendek (Yoo, 2017). 

Walaupun begitu, ada beberapa kriteria sebelum ia dapat dilaksanakan seperti:
1) sistem kewangan hendaklah kukuh dan mampu bertahan untuk jangkamasa sederhana - lama. 
2) Kerajaan kesempitan ruang utk pekej stimulus (fiskal) atau menurunkan lagi kadar faedah jika sudah terlalu rendah. 

Sebelum rakyat tidak dapat membayar pinjaman serentak dan secara menyeluruh dan menyebabkan panik di dalam sistem kewangan, ada baiknya sistem perbankan mengambil inisiatif dengan memberikan penangguhan bayaran sementara hingga semua reda.

Bayangkan jika sebuah isi rumah tidak perlu bayar RM3,000 duit pinjaman perumahan, kereta dan peribadi. Moratorium ini sudah pasti akan ‘membanjirkan’ ekonomi dengan beratus bilion ringgit selama 6 bulan. Ini tidak termasuk pengurangan bayaran KWSP kepada 7%, penangguhan bayaran PTPTN dan lain-lain serta pekej stimulus khusus yang bakal diumumkan tidak lama lagi. 

Pakar-pakar ekonomi berpendapat ia bakal menjemput inflasi kerana kecairan yang terlalu tinggi. Tetapi jika kita perhatikan, risiko tersebut rendah kerana di dalam keadaan yang genting ini, ada kemungkinan rakyat tidak akan berbelanja sakan. Mungkin ada yang akan membina simpanan ‘buffer’ selama 6 bulan takut-takut kehilangan pekerjaan akibat kesan dahsyat Covid-19 ini di masa hadapan.

Yang paling penting, punca utama segala masalah ini perlu dipulihkan iaitu jaminan keselamatan untuk kita semua agar dapat menjalankan aktiviti rutin harian seperti biasa - bekerja, beribadah, belajar, bersosial, membeli belah dan seterusnya kerana ia menjana ekonomi. 

Rakyat perlu bekerjasama dan patuh pada arahan KKM dan MKN dimana mereka juga akan memberikan plan yang terbaik untuk rakyat.

Sesungguhnya, moratorium ini akan lebih manis jika wabak ini dapat diputuskan rantaiannya sepantas yang boleh. 

Sumber:
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/03/668915/bnm-benar-penangguhan-pinjaman-automatik-enam-bulan

Monday, March 16, 2020

Kawanan Yang Kebal. Atau Bebal?

Kawanan Yang Kebal. Atau Bebal? Saya pasti kita semua telah mendengar perutusan YAB PM Tan Sri Muhyiddin berkenaan langkah-langkah drastik yang diambil bermula 18hb hingga 31hb Mac ini. Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan: 'Perintah Kawalan Pergerakan' Tindakan drastik yang diarahkan tidak lah sampai ke tahap lock-out/lock-down seperti di Itali. Tiada perlunya belian panik seperti yang berlaku lewat petang ini. Dan ia menjadi tandatanya apabila tiada arahan ketat 'penjarakan sosial' atau memakai topeng muka di tempat awam yang terbukti berkesan mengawal bagi mengelak penularan. Samada kerajaan masih tidak memandang serius penularan wabak Covid-19 atau mereka ada strategi lain? Sebenarnya ada beberapa strategi selain lockdown/lockout telah digunapakai di dalam menangani virus ini. Singapura misalnya mengamalkan 'contract tracing' yang sangat kemas. Mereka menghubungi setiap individu yang ada kontak lansung dengan pesakit dan hanya yang berasa tidak sihat sahaja perlu menggunakan topeng muka mengikut kata PM Lee Hsien Loong. Strategi kedua adalah 'herd immunity' yang diamalkan oleh negara UK dan Switzerland. Kekebalan kawanan atau 'herd immunity' ini dilakukan dengan tidak menghadkan kontak antara masyarakat samada yang terkena virus atau yang sihat. Secara teorinya, badan individu yang terjangkit akan dapat membina kekebalan secara semulajadi dari virus tersebut. Ia hanya dapat dicapai jika jumlah jangkitan dibiarkan melepasi paras 60 peratus dari jumlah penduduk. Berani bukan? Switzerland secara dasarnya hanya akan melindungi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik sahaja dan membiarkan yang sihat terjangkit. Larangan umum adalah menghadkan perjumpaan melebihi 100 orang, pelanggan restoran dan bar kepada 50 orang sahaja. Kerajaan Switzerland menyerahkan 'canton' atau daerah bersekutu mereka untuk menjalankan tindakan apa yang difikirkan lebih baik. Di UK, kerajaan mereka telah meminta warga emas agar menjalani pengasingan diri sehingga wabak selesai. Ini kerana mengikut statistik, warga emas merupakan golongan yang mempunyai kes kem*tian paling tinggi berbanding golongan lain. PM UK, Boris Johnson hanya menggalakkan rakyatnya untuk meningkatkan kebersihan diri, pengasingan diri bagi mereka yang merasa sakit-sakit selain mengesan dan menguji mereka yang disahkan positif Covid-19. WHO mengkritik kaedah tersebut yang belum terbukti keberkesanannya walaupun dikatakan ia berjaya mengekang virus H1N1 - mengikut pengalaman Norway pada 2010. Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=yRl6MnmZ6Ks https://www.thestar.com.my/news/regional/2020/03/15/singapore-uk-is-not-trying-to-contain-the-coronavirus https://news.cgtn.com/news/2020-03-16/Swiss-govt-under-fire-for-slow-COVID-19-reaction-despite-mass-outbreak-OUj2dVufUQ/index.html https://www.infectioncontroltoday.com/vaccines-vaccination/herd-immunity-h1n1-norway-experience https://www.vox.com/world/2020/3/15/21180414/coronavirus-uk-herd-immunity-vallance-johnson


Sunday, March 15, 2020

Sebelum Kebebasan di Tarik.


Presiden Amerika Syarikat Donal Trump telah mengaktifkan protokol bencana negara atau lebih spesifik Akta Stafford. Ia diaktifkan untuk ‘membebaskan’ dana bantuan berjumlah USD46 bilion bagi tujuan pembelian bekalan-bekalan perubatan yang berkaitan bagi kegunaan mereka-mereka yang dibarisan hadapan, agensi-agensi yang terlibat dan kerajaan tempatan.
Akta Stafford khusus bagi menangani masalah pembiayaan untuk tujuan kesihatan awam dan bencana alam. Ia telah digunakan ketika zaman Presiden Bill Clinton untuk mengurus wabak virus ‘West Nile’ di New York dan New Jersey pada tahun 2000.
Dengan pengumuman tersebut, pasaran memberi reaksi yang positif kerana akhirnya kerajaan AS telah berpijak di bumi yang nyata kerana kegagalan awal mereka membendung Covid-19 dari merebak sedari awal lagi.
Ia adalah satu pengumuman yang serius kerana kita semua tahu, jika Amerika ‘bersin’ seluruh dunia akan demam. Apa lagi melibatkan virus Covid-19 yang mampu membvnuh mangsanya yang lemah. Dana tersebut masih kecil dan bertujuan spesifik.
Jika ia melibatkan kesuluruhan ekonomi negara, AS tidak akan teragak-agak meluluskan bantuan bertrillion dolar. Krisis subprima 2009 sahaja menelan belanja sebesar USD 2 trillion.
Itu di AS, di atas kertas mereka mempunya cukup dana untuk menguruskan baik polisi negara berkaitan fiskal mahupun monetari.
Bagi negara kita yang masih enggan menjalankan polisi yang agresif bagi menangani wabak ini (mungkin juga kekurangan dana khusus), adalah baik kita mulakan dengan diri sendiri melalui penjarakan sosial. Sekurang-kurangnya ia dapat melambatkan penularan senyap di antara kita.
Ia juga dapat mengawal dari pengumuman mengejut berkenaan jangkitan yang tiba-tiba naik mendadak atau protokol ’lockdown’ yang akan mendatangkan keresahan masyarakat seterusnya mengakibatkan pembelian panik. Nasi dah jadi bubur dan kita terpaksa menyerahkan kebebasan kita di bawah kawalan kerajaan.
Dengan penjarakan sosial, secara tak lansung kita dapat mengelak dua perkara yang dahsyat. Kem*tian yang tinggi dan kemelesetan ekonomi negara. Kedua-duanya tidak produktif lansung untuk generasi akan datang.