Wednesday, October 12, 2011

Drama Eropah

Krisis hutang Eropah memasuki episod baru yang lebih mencabar apabila parlimen Slovakia, salah satu dari 27 negara di bawah Kesatuan Eropah (EU), menolak usul bantuan Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) dengan alasan mereka terlalu kecil untuk memberi bantuan kewangan yang berskala besar. Malah negara Greece dianggap lebih maju dari negara kecil eropah timur tersebut.

Sekali imbas seolah-olah mereka sedang bermain drama di mana ada negara yang rela membantu dan ada yang memberi syarat sebelum meluluskan bantuan berbillion Euro. Ditambah dengan Amerika Syarikat yang sibuk melobi EFSF agar segera dipersetujui sebelum krisis merebak ke tanah 'Uncle Sam'.
Ada beberapa faktor yang mungkin membuatkan EU tidak bersefaham dalam menangani  krisis hutang tersebut. Ini semua kerana hal yang sama pernah berlaku kepada mereka.
Eropah Timur pernah dilanda krisis kewangan pada 2008 dengan dibebani hutang sehingga Hungary, Latvia dan Romania terpaksa dibail-out oleh Dana Monetari Antrabangsa (IMF). Maka bermulah kemelesetan ekonomi, kadar pengangguran yang tinggi, cukai dan faedah pinjaman yang naik berlipat ganda. Kini selepas 3 tahun, ekonomi mereka berada lebih baik dari rakan-rakan eropah barat yang lain.
Negara-negara Skandinavia pula mengalami hal yang seumpanya pada awal 1990an dengan keruntuhan bank-bank Sweden dan Finland. Plotnya hampir sama dimulai dengan kadar faedah pinjaman yang rendah seterusnya mengakibatkan permintaan hartanah yang melambung dan disudahi dengan krisis hutang.
Ini semua akibat berlebihan dalam memberi pinjaman dan ada pula pihak yang memanipulasi sistem kewangan tersebut. ‘Krisis Skandinavia: Bagaimana Menyelesaikan Krisis Hutang Negara’ menjadi buku teks matapelajaran kewangan oleh negara-negara seluruh dunia.
Jadi, apa perlu dirisaukan?

No comments:

Post a Comment