Saturday, October 29, 2011

Setiap Krisis Ada Pakejnya

Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) yang berjumlah USD 1.4 trillion merupakan pakej terbesar seumpanya. Pakej tersebut bagi memastikan ekonomi Eropah dengan KDNK yang dianggarkan USD 16 trillion pada 2010 tidak mengalami kemelesetan teruk.

Pakej ransangan Amerika Syarikat pada 2008 dikenali dengan Troubled Asset Relief Program (TARP) diluluskan dibawah pentadbiran Presiden Obama berjumlah USD 700 billion. KDNK Amerika Syarikat pada 2008 berjumlah USD 14 trillion.

Krisis ekonomi Asia pada tahun 1998 melanda Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia dan Korea Selatan ketika KDNK negara-negara tersebut berada dipuncaknya iaitu sekitar USD 970 billion. Dana Monetari Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan negara-negara Asia yang lain memberi bantuan yang dianggarkan menghampiri USD 140 billion (tiada angka rasmi) kepada negara-negara tersebut.

Malaysia bagaimanapun menolak pakej IMF dan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), menguruskan krisis dengan bantuan kewangan dalaman. (Saya masih mencari angka billion yang digunakan bagi menangani krisis 1998 tersebut).

Pakej bantuan dan ransangan ekonomi adalah langkah yang sangat perlu bagi memastikan ekonomi sesebuah negara terus bergerak walaupun dalam kadar yang perlahan. Apatah lagi dengan era globalisasi ini krisis kewangan menular ke dari negara kecil sehingga wilayah ekonomi seperti Eropah, Asia, Asean, dan Timur Tengah. Kemelesetan ekonomi membawa implikasi yang buruk seperti pengangguran, penurunan nilai matawang, kenaikan kadar pinjaman, penyusutan ekonomi dan lain-lain.

Dengan pakej yang baik dan pantas maka krisis ekonomi dapat dielakkan.

Thursday, October 27, 2011

Potong Rambut dan 1 Trillion

Akhirnya setelah 10 jam bermesyuarat di Brussels, Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai kata sepakat untuk menaikan pakej Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) dari 440 billion euro kepada 1 trillion euro (1.4 trillion dolar amerika)

Jumlah ini lebih besar dari tabung TARP bagi menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat pada tahun 2008 yang berjumlah 700 billion dolar amerika.

Kesatuan yang mempunyai keanggotaan 17 negara Eropah itu juga telah berjaya memujuk pemegang-pemegang bond Greece untuk menerima 50% potongan (bond haircut). Ini adalah satu pakej yang agak menarik di mana pihak kerajaan Greece dan pemegang-pemegang bond berada di dalam situasi menang-menang. (janji tak bankrap!)

Antara isi kandung pakej bantuan tersebut adalah:

-       Pinjaman modal untuk bank-bank eropah. (sekurang-kurangnya 106 billion euro)
-       Memberikan peranan yang lebih besar kepada IMF.
-       Komitmen Itali untuk mengurangkan kadar hutang negara.
-       Bank Pusat Eropah akan terus membeli bond di pasaran kedua.

Persefahaman ini dicapai setelah lebih 20 bulan Kesatuan Eropah bermesyuarat dan dijangka akan memberikan kesan positif kepada pasaran serantau. Langkah utama adalah untuk memastikan krisis hutang Greece tidak menular ke negara Itali dan seterusnya.
Sebelum itu di penghujung mesyuarat, Presiden Perancis,Nicolas Sarkozy telah berbeza pendapat dengan Chancellor Jerman, Angela Merkel di dalam bagaimana menggunakan EFSF sebagai banteng terakhir pertahanan ekonomi Eropah.
Presiden Perancis itu juga tidak berlengah-lengah dengan mengumumkan akan meminta bantuan China di Perjumpaan Negara-negara Maju (G-20) yang akan berlansung di Cannes, November nanti.
Sebuah penutup drama Eropah yang agak melegakan... Buat masa ini.

Wednesday, October 12, 2011

Drama Eropah

Krisis hutang Eropah memasuki episod baru yang lebih mencabar apabila parlimen Slovakia, salah satu dari 27 negara di bawah Kesatuan Eropah (EU), menolak usul bantuan Dana Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) dengan alasan mereka terlalu kecil untuk memberi bantuan kewangan yang berskala besar. Malah negara Greece dianggap lebih maju dari negara kecil eropah timur tersebut.

Sekali imbas seolah-olah mereka sedang bermain drama di mana ada negara yang rela membantu dan ada yang memberi syarat sebelum meluluskan bantuan berbillion Euro. Ditambah dengan Amerika Syarikat yang sibuk melobi EFSF agar segera dipersetujui sebelum krisis merebak ke tanah 'Uncle Sam'.
Ada beberapa faktor yang mungkin membuatkan EU tidak bersefaham dalam menangani  krisis hutang tersebut. Ini semua kerana hal yang sama pernah berlaku kepada mereka.
Eropah Timur pernah dilanda krisis kewangan pada 2008 dengan dibebani hutang sehingga Hungary, Latvia dan Romania terpaksa dibail-out oleh Dana Monetari Antrabangsa (IMF). Maka bermulah kemelesetan ekonomi, kadar pengangguran yang tinggi, cukai dan faedah pinjaman yang naik berlipat ganda. Kini selepas 3 tahun, ekonomi mereka berada lebih baik dari rakan-rakan eropah barat yang lain.
Negara-negara Skandinavia pula mengalami hal yang seumpanya pada awal 1990an dengan keruntuhan bank-bank Sweden dan Finland. Plotnya hampir sama dimulai dengan kadar faedah pinjaman yang rendah seterusnya mengakibatkan permintaan hartanah yang melambung dan disudahi dengan krisis hutang.
Ini semua akibat berlebihan dalam memberi pinjaman dan ada pula pihak yang memanipulasi sistem kewangan tersebut. ‘Krisis Skandinavia: Bagaimana Menyelesaikan Krisis Hutang Negara’ menjadi buku teks matapelajaran kewangan oleh negara-negara seluruh dunia.
Jadi, apa perlu dirisaukan?

Thursday, October 6, 2011

Jendela Yang Menarik

Kita semakin hampir ke penghujung tahun dan satu istilah yang popular akan muncul di suku terakhir setiap tahun iaitu 'menghias jendela' atau window dressing.

Window dressing adalah satu istilah dalam dunia kewangan merujuk kepada aktiviti pembelian saham pada suku terakhir setiap tahun yang akan lebih memberi keuntungan pada tahun hadapan menggantikan saham yang dijangka tidak dapat berdaya saing.

Contoh: Rumahdana X memiliki pegangan dalam 3 buah syarikat iaitu A, B dan C. Apabila terdapat laporan Syarikat C mempunyai masalah dalam perniagaan maka Rumahdana X akan menggugurkan Syarikat C dan menggantikan dengan syarikat lain yang mempunyai kedudukan yang lebih kukuh.

Strategi ini dilakukan syarikat-syarikat saham amanah, insurans/takaful, syarikat pelaburan berportfolio negeri-negeri kerana syarikat-syarikat ini mempunyai pelaburan yang pelbagai dan biasanya memegang lebih dari 20 syarikat bursa pada satu masa.

Tujuan utama adalah untuk memberi laporan yang baik kepada para pelabur bahawa akaun rumahdana berada dalam keadaan positif. Apabila akaun pelaburan kelihatan elok maka para pelabur akan terus berminat untuk melabur.

Ini akan mengakibatkan aktiviti jual beli di bursa saham sangat rancak setiap penghujung tahun dan ditutup dengan positif serta keuntungan.