Monday, September 26, 2011

Nujum Pak Belalang Moden

Kita pasti ingat dengan watak Nujum Pak Belalang lakonan hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dijulang setinggi-tingginya apabila dapat menjumpai barang yang hilang. Ya! anda hanya perlukan satu tilikan yang tepat 100% dan pendapat anda akan diterima seterusnya walaupun nisbah ramalan seterusnya adalah 50:50.

Begitu juga dengan ‘pakar ekonomi‘ yang terkemuka tidak memiliki sebarang kelebihan dalam menjangkakan arah tuju pergerakan pasaran saham. Adakalanya tepat dan ada kalanya menyusahkan para pelabur.

Marc Faber yang terkenal dengan 'Gloom, Boom and Doom Report’, menggesa menjual dolar Amerika pada pertengahan Ogos 2011 dan membeli emas tetapi secara tiba-tiba menukar ramalan bola kristalnya pada 26 September dengan menyatakan emas akan jatuh sekitar USD1,100.

Faber mulai terkenal apabila menasihati pelaburnya untuk keluar dari bursa Amerika seminggu sebelum kejatuhan saham pada Oktober 1987. Bagaimanapun Faber mengatakan ramalannya itu adalah secara kebetulan.

Nouriel Roubini pula menjadi terkenal kerana meramalkan dengan tepat krisis sub-prima Amerika Syarikat dan kemelesetan ekonomi dunia 2008. Namun ramalannya tentang kemelesetan 2009 tidak mengena dan kemelesetan 2010 juga tidak menjadi kenyataan.

Professor Nassim Taleb penulis buku ‘The Black Swan’ mengutarakan satu pandangan iaitu Teori Angsa Hitam di mana kita terlalu bergantung kepada analisa terdahulu tanpa mengambil kira faktor kejutan. Kejadian besar seperti krisis ekonomi, perang dunia, wabak berjangkit atau tsunami tidak pernah difaktorkan dalam perkiraan hala tuju ekonomi kerana manusia tidak mampu memahami trend masa hadapan.

Mentor kepada Warren Buffet iaitu Benjamin Graham pernah berkata, "Apa yang aku tahu selama 60 tahun tentang Wall Street adalah manusia tidak pernah berjaya dalam meramal apa yang akan berlaku kepada pasaran saham.

* tulisan ini berlawanan dengan artikel ‘Bebuih Emas’ dari segi ramalan pakar. Ia untuk memberikan dimensi berlainan terhadap ekonomi.

No comments:

Post a Comment