Tuesday, August 18, 2020

TH. JAMINAN PASCA DEBAT

Tulisan ini menyentuh isu Tabung Haji (TH) setelah 2 peristiwa debat yang berlaku di Parlimen (Dewan Rakyat, 11 Ogos 2020, Sesi Pagi) dan Debat Sinar Harian - Berani Semuka (14 Ogos 2020) di antara dua mantan - Pengerusi TH, DS Azeez Rahim dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) DS Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Saya ingin menyentuh satu perkara.

Saya merasakan jika tanpa cadangan (campur tangan?), barangkali TH akan mendapat suntikan modal yang sewajarnya.

Kenapa saya mengatakan demikian?

Kerana Dr Mujahid telah menerangkan pada kedua-dua siri debat tersebut bahawa kerajaan mempunyai 4 kaedah untuk memulihkan TH iaitu -

A) Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 melalui suntikan modal melalui Kumpulan Wang Disatukan iaitu bajet fiskal tahunan kerajaan.

B) Mengaktifkan (Seksyen 24, Akta TH 1995) dengan bayaran semula - sama seperti opsyen A.

C) Perakaunan kreatif - kaedah yang pernah digunakan untuk menyorok kerugian forex BNM 1994.

D) Penstrukturan semula aset melalui - Urusharta Jamaah (UJSB)

Mengikut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, jaminan pinjaman terkumpul (Jun 2019) adalah berjumlah RM273.8 bilion atau 18% KDNK. Penerimanya termasuk PTPTN (RM40.3 bilion), Prasarana (RM31.4 bilion).

Jika Urusharta Jamaah (UJSB) diletakkan di dalam senarai Jaminan Kerajaan tersebut, ia akan berada di tempat ke-5 (RM20 bilion) atau 6.8% dari KDNK.

Bagaimanapun atas alasan Kerajaan tiada duit dan TH dalam keadaan tenat maka kaedah D adalah terbaik seterusnya 'good governance' dapat ditegakkan di dalam TH. Melalui kaedah D, sukuk UJSB bernilai RM20 bilion telah dikategorikan sebagai 'Komitmen Kerajaan' kerana tiada suntikan modal diperlukan dan tiada bayaran balik kepada Kerajaan (mempunyai kebarangkalian tinggi untuk mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan pada masa hadapan).

Tetapi saya tidak nampak kenapa dengan memilih opsyen A atau B maka Kerajaan tidak dapat melakukan 'good governance' tersebut. Malahan Menteri Kewangan PN DS Tengku Zafrul mengatakan kerajaan 'masih ada ruang, kemampuan kewangan' fiskal.

Kenapa saya katakan suntikan modal lebih baik?

Penjualan saham yang ada kaitan dengan TH telah berlaku setelah kebocoran maklumat mendakwa TH akan menjual aset-aset untuk kecairan. Ini menyebabkan penurunan saham secara mendadak di mana para pelabur menjual pegangan syarikat yang juga dipegang oleh TH.

Logiknya sbelum TH jual ada baiknya pelabur cabut lari dahulu sedang harga masih tinggi. Ini telah mengakibatkan kerugian atas kertas TH semakin melebar.

Pada pendapat saya, dengan jaminan suntikan modal, ia dapat mengelakkan 'penjualan panik' aset-aset tersebut seterusnya dapat mengurangkan 'unrealised loss'.

Lagipun TH boleh dikategorikan sebagai 'Too Big Too Fail'. Malah dengan melihat pendeposit TH seramai 9.44 juta orang (2019) ia mempunyai potensi pangkalan 'kertas undi' yang besar.

Senjata makan tuan? Tidak tahulah jika ia ada agenda disebaliknya.

Sumber:

https://www.parlimen.gov.my/…/CMD.27.2019%20-%20CMD%2027.20…

https://www.bharian.com.my/…/kita-masih-ada-ruang-kemampuan…

https://www.youtube.com/watch?v=xaVUg7OlSJs&t=4411s

https://www.youtube.com/watch?v=barY-SUFBzI

https://www.theedgemarkets.com/…/urusharta-jamaah-explains-…

http://www.agc.gov.my/…/f…/Publications/LOM/MY/Akta%2096.pdf

https://www.theedgemarkets.com/…/cover-story-ujsb-maximisin…

http://www.agc.gov.my/…/Act%20535%20-%20Tabung%20Haji%20Act…

 

 

Monday, August 3, 2020

Menyusur Akar

Ketika dilantik sebagai Menteri di Kementerian Kewangan oleh YAB PM ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya ada kesangsian bahawa YB Senator Tengku Zafrul dapat menjadi menteri yang mengenengahkan polisi-polisi yang membantu rakyat.

Tengoklah sejarah karier beliau dari 1996 yang 'berdarah'kan sistem perbankan, bermula dari AmInvestment Bank - CIMB - Citibank (M) - Maybank. Semuanya menjawat jawatan peringkat atas.

Orang kata 'Banker adalah banker'. Tempat saya bekerja dulu di sebuah bank luar negara di ibukota, pegawai atasan kami pernah berkata - "Islamic banking is not charity banking". Semuanya berdasarkan kira-kira untung rugi.

Mungkin beliau akan tunduk dengan tekanan pelobi-pelobi yang menguasai dasar perbankan negara. Itulah yang saya rasakan.

Tetapi membaca kenyataan terbaru beliau berkenaan lanjutan moratorium adalah sangat menarik perhatian.

“Secara peribadinya, saya berpendapat kita perlu menolong mereka yang memerlukan pertolongan kerana pemberian moratorium yang dibuat sebelum ini adalah untuk menolong semua orang dan kemudahan itu dinikmati oleh semua pihak secara automatik.

“Jadi apa yang terbaik adalah kita perlu memberi fokus kepada golongan sasar yang memerlukan pertolongan. Itu adalah pandangan peribadi saya dan kita tidak boleh paksa pihak bank namun kerajaan akan sentiasa berurusan dengan pihak bank berhubung perkara ini,” katanya.

Seorang teknokrat berkata begitu? Boleh mengalir air mata mendengarnya.

Harap-harap kenyataan tersebut bukanlah bertujuan untuk membantu bos beliau mencari markah politik di dalam mengharungi kemelut politik negara di sebalik kerajaan yang tidak kukuh.

Tetapi jika betul lah ia ikhlas, diharapkan ada peluang untuk beliau di dalam politik negara dari lantikan Senator ke kerusi Parlimen. Tanahair ini perlukan insan-insan yang cakna masalah rakyat.

Menyelusuri kemelut politik di sepanjang hidup saya kadang terfikir - Adakah Malaysia akan jadi lebih baik dari hari ini jika Perdana Menteri kita adalah seorang berdarah bangsawan iaitu YM Tengku Razaleigh Hamzah.

OPR Kepada 1.75

Bank Negara Malaysia di dalam mesyuarat monetari telah turunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus.

OPR adalah salah satu alat untuk merangsang ekonomi dari segi disiplin monetari. Apabila kadar diturunkan ia menjadikan pinjaman lebih murah. Kerajaan berharap ia akan dapat:

A - memberikan lebihan tunai kepada peminjam - membuatkan rakyat berbelanja,

B - menggalak syarikat meminjam untuk mengembangkan perniagaan kerana kos pinjaman yang rendah.

Kerajaan juga sebelum ini telah menggunakan ransangan fiskal seperti Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bernilai RM295 bilion.

BNM telah menerangkan impak Covid-19 terhadap ekonomi global adalah teruk tetapi berhati-hati menyatakan kesannya kepada negara. BNM tidak menggunakan istilah 'recession' (kemelesetan) atau 'depression' (kemelesetan yang panjang) tetapi menggunakan istilah kitaran bisnes - trough - seperti kenyataan di bawah (juga rujuk rajah diberikan).

"Although a trough is expected in the second quarter, broad-based weakness in labour markets and precautionary behaviour by households and businesses could affect the recovery going forward."

Oleh itu ekonomi akan kekal lemah dengan kelemahan indikator sektor pekerjaan, serta langkah perbelanjaan berhati-hati oleh isirumah dan perniagaan. Itu pon setelah dibantu oleh moratorium, KWSP, BPN, BSH ketika PKP. Maka ada desakan menyambung moratorium supaya rakyat ada tunai untuk terus berbelanja.

Berita baik? Inflasi harga barang dan perkhidmatan dijangka kekal rendah. Ini dapat mengelakkan situasi 'stagflasi' iaitu harga barang tinggi ketika ekonomi meleset. Itu lebih parah.

Mesyuarat monetari seterusnya bagi mengkaji semula OPR adalah pada 10 September 2020. Dijangka akan ada lagi pekej-pekej ransangan fiskal pula untuk mengurangkan impak negatif ekonomi.

https://www.bharian.com.my/…/708270/bnm-turunkan-lagi-kadar…

https://www.bnm.gov.my/index.php…

Daripada Percuma Kepada Denda.

Pemakaian pelitup muka akan mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2020. Orang ramai diwajibkan memakainya di tempat tumpuan umum dan sesak khasnya. Gagal mematuhinya akan didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Pelitup muka yang sebaiknya adalah dari jenis N95 dan sekurang-kurangnya jenis 3-lapis (pembedahan). Bagaimanapun WHO mengatakan pemakaian pelitup muka buatan sendiri masih dapat membantu mengurangkan penularan virus dan ia disokong dengan pelbagai kajian.

Vietnam menjadi negara contoh terbaik kerana mewajibkan pemakaiannya di tempat awam sejak bulan Mac walaupun hanya mencatat 57 kes pada sesuatu masa. Begitu juga negara Slovakia yang mencatat kes yang rendah di kalangan negara Eropah.

Qatar merupakan negara yang mempunyai denda tertinggi iaitu 200,000 riyal (RM225,000) bagi yang melanggarnya. Selain itu Maghribi 1,300 dirham (RM1,500), Sepanyol 100 euro (RM487), Perancis 135 euro (RM658).

Pada asalnya saranan tersebut - jika mengguna pakai kaedah 'teori nudge' (Thaler dan Sunstein, 2018) - adalah percuma. Maksud percuma di sini adalah tidak terikat dengan hukuman penalti/denda, mudah difahami, dan bersifat mandiri (tiada paksaan).

Akhirnya kita dapat menjalankan kehidupan harian dengan lebih baik walaupun agak terhad. Dengan menjaga diri masing-masing kita dapat menjaga negara keseluruhannya. Bagaimanapun masih ramai tidak mengendahkan saranan tersebut dan kerajaan memerlukan undang-undang/polisi bagi mewujudkan tingkah laku baharu.

Mengapa?

Pakar ekonomi tingkah laku dan pemenang Anugerah Nobel 2017, Sunstein mengatakan ia berkait rapat dengan pentingnya identiti si pelaku dan kumpulannya di dalam mendorong perilaku baharu. Di dalam memahami risiko tinggi atau rendah misalnya - perubahan cuaca, tenaga nuklear (ingat Lynas) - bergantung dari kefahaman secara kolektif kumpulan yang mempunyai pengaruh ke atas mereka.

Adakah masih ada cara untuk melakukannya tanpa kos? Sunstein mengajak kita mempelajari sampel kes Texas, Amerika Syarikat (1985) di dalam menangani masalah sampah yang dibuang merata-rata.

Pada tahun tersebut Texas mengalami kemuncak masalah sampah sarap. Kempen mengutuk si pembuang sampah yang dijalankan untuk memberi kesedaran tidak tercapai. Slogan tersebut ditentang kerana ia mewujudkan 'siege mentality'. Penciptanya seolah-olah tidak tahu perangai dan pemikiran penduduk Texas.

Solusinya? Slogan baharu yang mengaitkan pembuangan sampah dengan identiti Texas yang bersih pula digunakan.

Slogan tersebut "Don't Mess With Texas" telah berjaya menangani masalah tersebut dengan lebih berkesan. Ia juga dibantu dengan penglibatan selebriti terkenal kelahiran Selatan seperti Matthew McConaughey dan LeAnn Rimes.

Ia tidak mengubah identiti 'bangga' penduduk Texas. Sebanyak 70 peratus penduduk Texas mengatakan negeri mereka adalah yang terbaik di kalangan negeri-negeri di Amerika Syarikat. Malah kempen tersebut berajaya 'menempelkan' kebersihan dengan gaya Texas.

Mungkin di Malaysia juga perlukan kempen seumpamanya, atau sebenarnya pernah ada?

"Don't Mess with Texas"? Macam slogan Negeri Melaka lah..

https://www.washingtonpost.com/…/mandatory-face-mask-requi…/

https://www.bloomberg.com/…/coronavirus-mask-skeptics-can-b…

Luckin Coffee. Kes Kopi Kayangan.

Kemunculan mendadak (baca: viral) industri makanan (F&B) dan perniagaan (malah nasihat saham) bumiputera ketika negara bakal menghadapi kegawatan ekonomi yang lebih teruk dari Krisis Sub-Prima 2009 mungkin menandakan ramai telah beralih untuk bekerja sendiri kerana prospek kerja yang malap.

Menteri Sumber Manusia juga telah mengesahkan seramai 50,000 telah diberhentikan kerja sehingga Julai tahun ini.

Moratorium pinjaman perbankan bermula Mac sehingga akhir tahun pula memberi peluang untuk para peniaga baharu mencuba nasib. Ada modal pusingan untuk digunakan. Untung sabut tenggelam, untung batu timbul.

Seminar-seminar perniagaan dan pemasaran samada percuma atau berbayar penuh dilanggan. Malah ada penceramah yang telah berjaya membeli kereta kategori super-mewah hasil bisnes khidmat nasihat pemasaran media sosial.

Yang membimbangkan adalah teknik pemasaran yang digunakan. Menggunakan 'tag-line' teknik jutawan, teknik cepat kaya dengan hasil jualan berjuta ringgit di dalam masa singkat, serta pameran aset-aset mewah, telah berjaya menarik golongan sasaran secara impulsif.

Tulisan ini bukan untuk mengheret perkara di atas ke dalam persoalan etika normatif - memberi piawaian cara yang ini benar, cara yang itu salah. Tetapi tulisan ini ingin membawa pembaca menilainya dengan menggunakan kes 'Luckin Coffee' (LC) secara ringkas.

Luckin Coffee adalah sebuah rantaian kedai kopi yang meningkat pantas dan dikatakan bakal menggugat status Starbucks di China. LC mendakwa mencatatkan jumlah jualan yang tinggi berdasarkan data aplikasi dalam talian dengan pembukaan kedai-kedai baharu di merata China.

Ini mendorong LC didagangkan di bursa Nasdaq Amerika Syarikat pada Mei 2019 sehingga saham mencecah USD50.02 seunit menjadikan pemilik asalnya bilionaire segera dalam masa 6 bulan sahaja. Apatah lagi entiti yang terlibat mendanai LC pada awalnya adalah seperti Legend Capital (Lenovo), GIC (Singapura) dan BlackRock sehingga mencapai status haiwan mitos unicorn.

* Unicorn adalah istilah dalam dunia perniagaan untuk menunjukkan syarikat permulaan milik swasta bernilai lebih dari $1 bilion.

Bagaimanapun kisah indah ini hanya mampu bertahan seketika. Sebenarnya tiada siapa dapat menilai kebenaran dakwaan jualan LC sehinggalah tiba-tiba muncul laporan 'tanpa nama' untuk 'short' (jual) saham tersebut pada Januari 2020.

Laporan itu mendakwa telah membandingkan data LC dengan-
1) Rakaman pengawasan trafik keluar masuk 980 kedai selama 11,260 jam.
2) Bajet pengiklanan yang terlalu tinggi (150%) bagi mengkaburi jumlah sebenar pendapatan (revenue).
3) Laporan konsumer peminum kopi yang sebenarnya lebih rendah dari data LC. Tiada penambahan ketara pengambilan kopi harian di China berbanding negara Asia lain.
4) Laporan peningkatan pembukaan kedai LC di seluruh China tetapi di masa yang sama menaikkan harga jualan bagi menampung kos.
5) Dilaporkan juga rasa kopi LC tidak dapat menyaingi rasa kopi Starbucks (faktor kos).

Betul. Begitu gigih sekali 'short-seller' di dalam merungkai nilai sebenar sehingga sanggup meletakkan perisik di stor-stor LC bagi mendapat maklumat secara 'off-line'.

Profesor Capital Market saya di INCEIF mengatakan ini lah kerja sebenar 'short-seller'. Ia menawarkan penilaian alternatif. Jika tidak pelabur hanya akan tahu potensi 'upside' tanpa mengetahui risiko 'downside'.

Sebenarnya telah ada kes begini sebelum ini menggunakan data jualan yang kononnya tinggi bagi menarik pelabur/ejen berpotensi. Kes produk jubah dengan jualan 2 juta dalam masa 3 hari boleh dijadikan contoh. Anak murid siapa lah ni?

Ini bukan lagi terlebih minum kafein.

https://cdn.gmtresearch.com/…/Unknown%20author/Luckin%20Cof…