Monday, February 20, 2012

Naik Dividen Tanda Apa?

Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) telah mengumumkan pemberian divididen 2011 sebanyak enam peratus dalam sidang akhbarnya semalam. Ia telah disambut baik oleh para pencarum KWSP yang berjumlah 12 juta kerana sebelum ini kadar dividen sebanyak enam peratus kali terakhir dinikmati pada tahun 2000.

Pemberian keuntungan menyaksikan kadar dividen pernah turun sehingga 4.25 peratus pada tahun 2002. Secara purata dividen KWSP adalah kurang dari 5.2 peratus sepanjang sepuluh tahun bermula 2002.

Pemberian dividen juga dipengaruhi keadaan ekonomi global kerana setiap kali krisis dunia berlaku, pemberian dividen akan menyusut dari tahun sebelumnya. Sebagai contoh dividen 4.25 peratus pada 2002 adalah dari kemelesetan setelah peristiwa 9/11. Dividen sebanyak 4.5 peratus pada 2008 pula akibat dari krisis sub-prima Amerika Syarikat.

Dana KWSP dengan jumlah aset yang kini berjumlah 470 billion ringgit akan mencecah 1/2 trillion dalam masa lima tahun lagi. Ini memberikan cabaran bagi pihak KWSP di dalam mengekalkan pemberian dividen lebih lima peratus setahun.

* menjadi satu tanda tanya kerana dengan krisis hutang eropah 2011 yang belum selesai, pembangunan Sg. Buloh oleh KWSP (RM10b), pengambil-alihan PLUS oleh KWSP-UEM (RM32b), dan yang terkini pinjaman perumahan (RM1.5b) KWSP dapat memberikan pulangan lebih tinggi...

Wednesday, February 1, 2012

Kadar Semalaman Kekal Tiga Peratus

Bank Negara Malaysia telah menetapkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada tiga peratus bagi memastikan ekonomi terus dipacu oleh permintaan domestik memandangkan masalah Eropah yang akan memperlahankan eksport barangan akibat momentum pertumbuhan global yang masih lemah.

Kadar inflasi pada suku pertama yang agak terkawal iaitu kira-kira tiga peratus juga mendorong kearah penetapan kadar OPR tersebut. Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) telah berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku ketiga 2011.

Ini agak berbeza dengan negara jiran Singapura yang memotong OPR termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan Australia yang dilakukan sepanjang tiga bulan ini. Alasan pemotongan adalah bagi menggalakkan eksport kerana matawang yang kukuh berbanding matawang Amerika Syarikat akan menjadikan kos eksport menjadi lebih mahal.

Persidangan Komiti Polisi BNM yang diadakan setiap dua bulan telah mengekalkan kadar tiga peratus tersebut sejak bulan Mei 2011.

* berita baik untuk pengguna yang hendak meminjam bagi pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi.