Sunday, November 13, 2011

Mengata Greece, Itali Serepih

Perdana menteri Greece, George Papandreou menjadi mangsa terbaru krisis kewangan Eropah setelah meletak jawatan akibat tekanan dari rakyat Greece dan Kesatuan Eropah. Beliau dianggap gagal mengemudi ekonomi Greece di dalam menyelesaikan hutang negara dengan lebih berkesan. Tempat beliau kini diteraju oleh Lucas Papademo.

Menyusul (seperti teori domino - ingat 'musim bunga arab'?) adalah Silvio Berlusconi, seorang veteran di kalangan pemimpin Eropah, telah meletakkan jawatan Sabtu lepas. Perletakan jawatan beliau pada mulanya bersyarat seperti Papandreou, “Luluskan pakej bantuan kewangan, dan saya akan meletak jawatan.” Syarat tersebut membuatkan pasaran saham seluruh dunia memberi reaksi negatif.

Bekas Perdana Menteri Itali tersebut mengakhiri era penuh skandal politik Itali dan disambut dengan meriah rakyat Itali di tengah-tengah bandaraya Rom. Perjalanan politik beliau penuh warna-warni serta terlibat dalam skandal seks melibatkan langganan pelacur bawah umur sehinggalah didakwa kerana penipuan cukai.

Mengikut Forbes, Berlusconi adalah orang ke-tiga terkaya di Itali dengan aset berjumlah 9 billion euro (2010). Aset pelaburan beliau merangkumi media (stesen tv, suratkhabar, penerbitan, perfileman), perbankan, insuran dan sukan.

Itali merupakan negara Eropah yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar menjadi kelam-kabut apabila jualan bon bagi 10 tahun naik ke paras 7.6 peratus, satu angka yang membuatkan negara Ireland, Portugal dan Greece bergegas meminta bantuan antarabangsa.

Kadar pinjaman bagi bon Itali perlu berada di bawah 6 peratus jika negara itu ingin menyelesaikan masalah hutang awam dengan seberapa segera. Jika tidak amat lah sukar untuk Itali keluar dari perangkap hutang dalam masa terdekat.

Dengan hutang awam melebihi 120 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta ekonomi yang lemah selama lebih sedekad, Itali merupakan tumpuan utama krisis Eropah dan dijangka terlalu besar untuk diselamatkan jika krisis tersebut gagal ditangani. Apa lagi bila pakar ekonomi meramalkan pakej bantuan untuk Itali sahaja menghampiri 2 trillion euro.

Nampaknya mengurus negara tidak semudah menjadi pemilik kelab terkemuka A.C. Milan yang merupakan Juara Liga Juara-juara Kelab Eropah sebanyak tujuh kali.
Milan! Milan! Solo con te, Milan! Milan! Sempre per te

No comments:

Post a Comment