Monday, August 3, 2020

Luckin Coffee. Kes Kopi Kayangan.

Kemunculan mendadak (baca: viral) industri makanan (F&B) dan perniagaan (malah nasihat saham) bumiputera ketika negara bakal menghadapi kegawatan ekonomi yang lebih teruk dari Krisis Sub-Prima 2009 mungkin menandakan ramai telah beralih untuk bekerja sendiri kerana prospek kerja yang malap.

Menteri Sumber Manusia juga telah mengesahkan seramai 50,000 telah diberhentikan kerja sehingga Julai tahun ini.

Moratorium pinjaman perbankan bermula Mac sehingga akhir tahun pula memberi peluang untuk para peniaga baharu mencuba nasib. Ada modal pusingan untuk digunakan. Untung sabut tenggelam, untung batu timbul.

Seminar-seminar perniagaan dan pemasaran samada percuma atau berbayar penuh dilanggan. Malah ada penceramah yang telah berjaya membeli kereta kategori super-mewah hasil bisnes khidmat nasihat pemasaran media sosial.

Yang membimbangkan adalah teknik pemasaran yang digunakan. Menggunakan 'tag-line' teknik jutawan, teknik cepat kaya dengan hasil jualan berjuta ringgit di dalam masa singkat, serta pameran aset-aset mewah, telah berjaya menarik golongan sasaran secara impulsif.

Tulisan ini bukan untuk mengheret perkara di atas ke dalam persoalan etika normatif - memberi piawaian cara yang ini benar, cara yang itu salah. Tetapi tulisan ini ingin membawa pembaca menilainya dengan menggunakan kes 'Luckin Coffee' (LC) secara ringkas.

Luckin Coffee adalah sebuah rantaian kedai kopi yang meningkat pantas dan dikatakan bakal menggugat status Starbucks di China. LC mendakwa mencatatkan jumlah jualan yang tinggi berdasarkan data aplikasi dalam talian dengan pembukaan kedai-kedai baharu di merata China.

Ini mendorong LC didagangkan di bursa Nasdaq Amerika Syarikat pada Mei 2019 sehingga saham mencecah USD50.02 seunit menjadikan pemilik asalnya bilionaire segera dalam masa 6 bulan sahaja. Apatah lagi entiti yang terlibat mendanai LC pada awalnya adalah seperti Legend Capital (Lenovo), GIC (Singapura) dan BlackRock sehingga mencapai status haiwan mitos unicorn.

* Unicorn adalah istilah dalam dunia perniagaan untuk menunjukkan syarikat permulaan milik swasta bernilai lebih dari $1 bilion.

Bagaimanapun kisah indah ini hanya mampu bertahan seketika. Sebenarnya tiada siapa dapat menilai kebenaran dakwaan jualan LC sehinggalah tiba-tiba muncul laporan 'tanpa nama' untuk 'short' (jual) saham tersebut pada Januari 2020.

Laporan itu mendakwa telah membandingkan data LC dengan-
1) Rakaman pengawasan trafik keluar masuk 980 kedai selama 11,260 jam.
2) Bajet pengiklanan yang terlalu tinggi (150%) bagi mengkaburi jumlah sebenar pendapatan (revenue).
3) Laporan konsumer peminum kopi yang sebenarnya lebih rendah dari data LC. Tiada penambahan ketara pengambilan kopi harian di China berbanding negara Asia lain.
4) Laporan peningkatan pembukaan kedai LC di seluruh China tetapi di masa yang sama menaikkan harga jualan bagi menampung kos.
5) Dilaporkan juga rasa kopi LC tidak dapat menyaingi rasa kopi Starbucks (faktor kos).

Betul. Begitu gigih sekali 'short-seller' di dalam merungkai nilai sebenar sehingga sanggup meletakkan perisik di stor-stor LC bagi mendapat maklumat secara 'off-line'.

Profesor Capital Market saya di INCEIF mengatakan ini lah kerja sebenar 'short-seller'. Ia menawarkan penilaian alternatif. Jika tidak pelabur hanya akan tahu potensi 'upside' tanpa mengetahui risiko 'downside'.

Sebenarnya telah ada kes begini sebelum ini menggunakan data jualan yang kononnya tinggi bagi menarik pelabur/ejen berpotensi. Kes produk jubah dengan jualan 2 juta dalam masa 3 hari boleh dijadikan contoh. Anak murid siapa lah ni?

Ini bukan lagi terlebih minum kafein.

https://cdn.gmtresearch.com/…/Unknown%20author/Luckin%20Cof…

No comments:

Post a Comment