Friday, March 27, 2020

PRIHATIN. Meratakan Lengkungan Kedua

Ok. Saya percaya ramai yang lebih kurang telah hadam dengan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang telah disiarkan petang tadi. Total pakej ini berjumlah RM250 bilion.

Memang pada mulanya nampak besar tetapi setelah diperincikan bagi saya ia agak mengecewakan.

Tak lama kemudian bertebaran analisa yang mempertikaikan pakej tersebut sebagai 'helah' YAB PM kerana hanya lebih kurang RM22 bilion dari suntikan fiskal dan lainnya inisiatif pihak GLC dan swasta seperti TNB, KWSP, dan bank-bank. Ini termasuk analisa duit yang Makcik Kiah terima sebanyak RM7,864 berdasarkan manfaat optimal atau 'best-case scenario' sahaja.

YAB PM, kita kan sedang di dalam medan peperangan (we are at war!) kenapa senjatanya kurang ampuh?

Telahan saya, ada 2 sebab kenapa pakej ini agak terhad 'firepower'nya.

1) Mangsa wabak Covid-19 dijangka akan mula berkurangan mulai bulan Mei 2020 di mana keadaan akan kembali normal - walaupun mustahil untuk pulih sepenuhnya.

2) YAB PM tidak mempunyai kuasa penuh untuk meluluskan suntikan fiskal yang berskala besar memandangkan sebarang penambahan belanjawan perlu diperdebatkan dan diluluskan di Parlimen terlebih dahulu.

Pakej PRIHATIN hanya fokus untuk masalah jangka pendek iaitu meminimakan risiko kemelesetan ekonomi agar tidak berlaku secara drastik serta menghadkan pembuangan pekerja disetiap sektor khasnya perkhidmatan. Tunai perlu ada di tangan setiap rakyat Malaysia untuk berbelanja ketika ini - 'Cash is King'.

Dengan menyediakan tunai yang cukup untuk tempoh tersebut, para peniaga tidak perlu mengecilkan operasi atau menutup syarikat kerana permintaan memang ada dengan tunai sedia untuk dibelanjakan. Begitulah rayuan YAB PM sehingga memperkenalkan Program Subsidi Upah. Tetapi insentif RM600 mungkin tidak begitu menarik?

Merujuk telahan kedua, jika PM tidak berkuasa penuh terhadap suntikan bajet fiskal RM22 bilion tersebut, bagaimana ia boleh diluluskan khusus buat rakyat? Belanjawan 2020 adalah belanjawan yang defisit dan memerlukan pinjaman sebanyak RM52 bilion (-3.2%).

Cuba kita baca teks di penghujung ucapan beliau:

"Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi. Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang."

Kerajaan tidak guna pinjaman lansung? Desas-desus mengatakan defisit yang bertambah disebabkan PRIHATIN akan dibiayai secara 'off budget' melalui Akauan Amanah PFI.

Bagaimanapun saya beranggapan YAB PM sedang 'buying time' sehingga wabak benar-benar reda. Beliau cuba untuk menguasai pertempuran-pertempuran awal (kluster wabak, jaminan makanan, kecairan tunai, inflasi, bursa saham, pengangguran) sebelum memenangi peperangan secara menyeluruh (Covid-19, kemelesetan ekonomi) - 'winning the battle before ending the war'.

Setelah keadaan beransur pulih, saya jangka beliau akan melancarkan pakej fiskal dengan penambahan yang lebih baik melalui apa yang pernah YAB PM ke-6 laksanakan pada Januari 2016 iaitu Pengubahsuaian Bajet 2016 (Bajet Recalibrate 2016) akibat kejatuhan harga minyak dunia ke paras 30 dolar setong.

Kebetulan pula sidang Parlimen telah dianjakkan ke 18 Mei ini. Boleh lah ahli parlimen kita yang bijak pandai yang terdiri dari bekas PM ke-4,7,7i (Tun M), bekas PM ke-6 (DSN), termasuk menteri-menteri kewangan yang lalu (YB Lim, YB Anuar Ibrahim) berbahas untuk tujuan tersebut seterusnya merangka polisi jangka panjang untuk kelestarian ekonomi negara.

Setelah percubaan meratakan lengkungan wabak telah dilakukan, kini masa untuk meratakan lengkungan kemelesetan ekonomi.

Malaysia Boleh!

Sumber:

https://www.pmo.gov.my/2020/03/pakej-rangsangan-ekonomi-prihatin-rakyat-prihatin/

https://www.bnm.gov.my/files/Budget2016_Recalibration.pdf

No comments:

Post a Comment