Malaysia sudah menghampiri sebulan arahan PKP oleh MKN yang mula berkuatkuasa pada 18 Mac 2020. Bagi mengurangkan impak kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi, kerajaan telah melaksanakan beberapa strategi bermula dari pekej rangsangan polisi monetari (OPR, SRR, moratorium) disusuli dengan fiskal (BSH, BPN).
Kerajaan tidak lupa juga menambah RM10 bilion bantuan Prihatin Tambahan untuk melindungi sektor IKS dan PKS. Termasuk juga kebenaran beroperasi bagi perniagaan terpilih walaupun kemudiannya ditarik balik (kedai gunting rambut dan cermin mata).
Apa perlunya kerajaan melindungi sektor IKS, PKS?
Ketika rakyat Malaysia terkurung di rumah masing-masing, pasti ramai yang merasakan kelebihan menjadi pekerja kerajaan kerana masa depan yang dianggap terjamin.
Walaupun sektor awam tidak lah seratus peratus 'recession-proof' atau anti-kemelesetan, pekerja kerajaan mempunyai kelebihan dari segi jaminan sekuriti kerjaya berbanding sektor swasta (Kopelman et al., 2015). Malah adakalanya mereka mendapat peningkatan gaji ketika sektor swasta mula membuang pekerja semasa kemelesetan ekonomi (Zhang, Figueiredo, 2018).
Ia sebenarnya telah melekat diminda generasi kita khasnya kaum bumiputera. Oleh kerana menguruskan perniagaan bukan lah satu pekerjaan yang mudah, ramai di antara kita disyorkan untuk mencari pekerjaan tetap khasnya untuk berkhidmat dengan kerajaan. Tidak kisahlah berapa kecil pun gajinya.
Kita tolak tepi isu jaminan yang 'goyah' ketika kerajaan sebelum ini berpendapat kakitangan mereka terlalu ramai atau 'bloated' setelah melalui zaman PM ke-5 dan ke-6 (1). Isu ini bersangkut paut kelestarian awam berbanding pendapatan negara - seperti yang didakwa.
Mahu tidak mahu, kerajaan perlu memastikan semangat keusahawan perlu terus subur sebagai enjin ekonomi negara pasca Covid-19 kerana negara tidak punya sumber yang banyak untuk menyerap masalah kegawatan.
Richard Florida (The Atlantic) mengesyorkan menggunakan perkataan 'reset' sebagai ganti 'recession' kerana inovasi yang muncul ketika masa sukar bakal memenuhi landskap ekonomi pasca kemelesetan. "Ia bukanlah tempoh terkuburnya perniagaan, tetapi peluang untuk memulakan semula" (2). Ahli ekonomi, Joseph Schumpeter mengenalpasti bahawa inovasi, aktiviti keusahawanan, dan kuasa pasaran adalah kritikal bagi perubahan ekonomi.
Sila ulang semula perenggan di atas sebelum membaca tulisan seterusnya.
Percaya atau tidak, banyak innovasi terhasil ketika dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Data dari tahun 1750 hingga 1970 mendapati aktiviti inovasi bertambah sangat ketara ketika zaman kemelesetan (Long Depression) 1870-1880an dan 'Great Depression' 1930an.
Antara teknologi dan inovasi yang ditemukan dalam tempoh tersebut adalah mentol lampu, bekalan eletrik (Thomas Edison), radio (Nikola Tesla), peti sejuk domestik (Carl von Linde), nylon (Wallace Carothers), pen mata bola (Laszlo Biro) dan banyak lagi.
Hey, walaupun innovasi kewangan seperti pasaran derivatif adalah antara penyebab utama subprima 2008-2009, tidak sedikit syarikat yang muncul dari krisis tersebut. Syarikat-syarikat seperti Instagram, Whatsapp, Uber, Airbnb, Dropbox kini bernilai berbilion ringgit.
Syarikat-syarikat yang mencipta semula 'reinvent' dan berjaya sehingga menjadi syarikat gergasi media adalah seperti Netflix, Disney, Apple dan Microsoft. Oh ya, Microsoft dan Apple muncul ketika mereka mengalami 16 bulan kegawatan ekonomi pada pertengahan tahun 1970an.
Ok, bagaimana pula dengan sektor perkhidmatan tradisional? yang tidak memerlukan innovasi drastik?
Di sinilah cabarannya untuk kerajaan melindungi sektor tersebut yang masih memerlukan tenaga manusia bagi melayan pelanggan (gunting rambut, restoran, pelancongan, tukang paip, tukang jahit). Di Amerika Syarikat sekalipun, bilangan perkhidmatan (selain berkaitan teknologi) telah menurun sejak 1980an.
Walaupun dianggap kecil, usahawan-usahawan ini perlu dilindungi. Ia bukanlah sahaja melindungi para pekerja mereka tetapi juga melindungi semangat keusahawan agar terus membara dan tidak mati. Seterusnya memberi panduan kepada bakal-bakal usahawan yang lain bagi membuka pintu-pintu baharu penerokaan perniagaan yang lebih berdaya saing.
Sumber:
No comments:
Post a Comment