Tuesday, March 24, 2020

Moratorium Yang Lebih Manis Jika..



Moratorium penangguhan pinjaman perbankan atau penangguhan hutang bank sangat sangat disambut baik ketika negara mengalami krisis berkembar Covid-19 dan ekonomi. Ia memberikan banyak kelegaan kepada peminjam dan juga para peniaga yang bakal menerima tempias pengumuman tersebut.

Secara automatik pulak tu! Syabas diucapkan kepada BNM dan MKN kerana prihatin. 

Bagi mengurangkan kesan negatif dari Covid-19, kerajaan seluruh dunia telah menjalankan program moratorium seumpamanya (debt-relief, debt-holiday). Ia adalah satu kesedaran berbanding mengutamakan suntikan modal kepada syarikat-syarikat dan sistem perbankan “too big too fail”. 

Pada mulanya penularan virus ini dianggap hanya akan memberi kesan besar terhadap penawaran - perniagaan terhenti daripada mengeluarkan produk atau perkhidmatan buat sementara. Itupun sektor-sektor terlibat seperti perlancongan dan hospitaliti (hotel, penerbangan, persidangan, sukan dll.).

Tetapi apabila didapati virus Covid-19 ini sangat dahsyat sebarannya sehingga memaksa manusia tidak boleh keluar rumah bagi menghalang jangkitannya maka dua kejutan berlaku serentak iaitu:

Kejutan permintaan dan penawaran (demand and supply shock). 

Apabila ini berlaku di dalam sebuah ekonomi tiada ubat (dari segi fiskal atau monetari) benar-benar dapat memberi penawar kepada dwi-masalah tersebut. 

Dasar fiskal dan monetari adalah alat bagi sebuah kerajaan untuk mengawal tabiat manusia contohnya - untuk berbelanja lebih atau kurang, meningkatkan inflasi atau mengurangkannya. Ini kerana ekonomi berpunca dari tabiat manusia dan tabiat manusia adalah ekonomi. 

Ada kajian berkenaan perlepasan hutang (debt relief) telah dijalankan dan mendapati ia sangat baik untuk sebuah ekonomi samada jangka panjang atau pendek (Yoo, 2017). 

Walaupun begitu, ada beberapa kriteria sebelum ia dapat dilaksanakan seperti:
1) sistem kewangan hendaklah kukuh dan mampu bertahan untuk jangkamasa sederhana - lama. 
2) Kerajaan kesempitan ruang utk pekej stimulus (fiskal) atau menurunkan lagi kadar faedah jika sudah terlalu rendah. 

Sebelum rakyat tidak dapat membayar pinjaman serentak dan secara menyeluruh dan menyebabkan panik di dalam sistem kewangan, ada baiknya sistem perbankan mengambil inisiatif dengan memberikan penangguhan bayaran sementara hingga semua reda.

Bayangkan jika sebuah isi rumah tidak perlu bayar RM3,000 duit pinjaman perumahan, kereta dan peribadi. Moratorium ini sudah pasti akan ‘membanjirkan’ ekonomi dengan beratus bilion ringgit selama 6 bulan. Ini tidak termasuk pengurangan bayaran KWSP kepada 7%, penangguhan bayaran PTPTN dan lain-lain serta pekej stimulus khusus yang bakal diumumkan tidak lama lagi. 

Pakar-pakar ekonomi berpendapat ia bakal menjemput inflasi kerana kecairan yang terlalu tinggi. Tetapi jika kita perhatikan, risiko tersebut rendah kerana di dalam keadaan yang genting ini, ada kemungkinan rakyat tidak akan berbelanja sakan. Mungkin ada yang akan membina simpanan ‘buffer’ selama 6 bulan takut-takut kehilangan pekerjaan akibat kesan dahsyat Covid-19 ini di masa hadapan.

Yang paling penting, punca utama segala masalah ini perlu dipulihkan iaitu jaminan keselamatan untuk kita semua agar dapat menjalankan aktiviti rutin harian seperti biasa - bekerja, beribadah, belajar, bersosial, membeli belah dan seterusnya kerana ia menjana ekonomi. 

Rakyat perlu bekerjasama dan patuh pada arahan KKM dan MKN dimana mereka juga akan memberikan plan yang terbaik untuk rakyat.

Sesungguhnya, moratorium ini akan lebih manis jika wabak ini dapat diputuskan rantaiannya sepantas yang boleh. 

Sumber:
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/03/668915/bnm-benar-penangguhan-pinjaman-automatik-enam-bulan

No comments:

Post a Comment