Thursday, November 19, 2020

BELANJAWAN 2021 : Perniagaan Kelansungan Evolusi

Antara tiga tema Belanjawan 2021, satu sangat menarik perhatian saya iaitu 'Kelangsungan Perniagaan' yang akan saya jadikan tema utama penulisan ini.

Perniagaan bukan sahaja sebagai penerus kedua tema Belanjawan tersebut iaitu Kesejahteraan Rakyat dan Ketahanan Ekonomi. Ia juga dikatakan sebab terevolusinya manusia moden mengikut sebuah teori barat.

Kemahiran berniaga adalah sebab Homo sapiens berjaya mengelak kepupusan berbanding bangsa Neanderthals. Perdagangan dan kegunaan tenaga buruh telah dapat memperbaiki kelemahan biologi manusia terawal yang terhad (Horan et al., 2005).

Kita majukan perbincangan ini 30,000 tahun dari zaman paleolitik tersebut sebagai perbandingan.

Secara kebetulan pandemik kali ini begitu dahsyat sehingga dikenali sebagai 'The Great Reset' - mengakibatkan segala urusan perdangangan terhenti secara sistematik seperti aturcara perisian komputer atau telefon pintar yang lembap dan perlu di 'factory reset'.

Covid-19 telah memberi kesan yang teruk terhadap manusia dari sudut ekonomi global dan Malaysia amnya. Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah membayangkan Kerajaan Malaysia akan menggunakan pendekatan yang;

"...menongkah arus teori ekonomi apabila sepatutnya perbelanjaan dikurangkan jika pendapatan merosot namun keadaan sebaliknya perlu dilakukan bagi Belanjawan 2021 kerana kerajaan perlu berbelanja lebih." [2]

Baguslah jika teori ekonomi Keynesian cuba diterapkan iaitu kerajaan perlu - meningkatkan perbelanjaan dan menurunkan cukai untuk merangsang permintaan dan membawa ekonomi dari kemelesetan.

Jika fokus Kerajaan adalah perniagaan, secara tidak lansung ia dapat membawa (carry) bersama kesejahteraan rakyat dan ekonomi setempat. Empat faktor produksi adalah modal, keusahawanan, tanah dan tenaga buruh. Dengan polisi yang dirangka dengan tepat maka tiga faktor selain tanah dapat diselamatkan.

Bagaimanapun ia masih dilihat dari sudut formula kejayaan dunia. Bagaimana pula dengan akhirat?

Sesungguhnya Sang Pencipta amat memahami penciptaannya. Begitu rapat sekali kecenderungan manusia dan perniagaan sehingga disentuh di dalam Al-Quran beberapa kali.

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, (Surah As-Saff ayat 10-11).

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan salat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi. (Surah Al-Fatir Ayat 29).

Jadi, apakah kita semua akan rugi jika meletakkan Allah sebagai 'rakan kongsi'?

Sumber:

1. Horan, R. D., Bulte, E., Shogren, J. F. 2005. How Trade Saved Humanity from Biological Exclusion: An Economic Theory of Neanderthal Extinction. Journal of Economic Behavior & Organization 58(1):1-29

2. https://www.hmetro.com.my/…/…/kita-lawan-arus-teori-ekonomi…

No comments:

Post a Comment