Thursday, November 19, 2020

BNM Beli Aset KWSP

Cadangan bekas Menteri Kewangan agar ahli dapat mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 disambut KWSP dengan inisiatif i-Sinar KWSP tetapi disertakan syarat-syarat yang ketat.

Bos KWSP juga menyatakan kerugian potensi pelaburan sehingga RM60 bilion untuk tahun 2021 [1]. Ia termasuk jangkaan pengeluaran sebanyak RM45 bilion dari program i-Lestari yang sedang berjalan.

CEO KWSP mengandaikan lebih banyak aset pelaburan perlu dicairkan bagi memenuhi permintaan pengeluaran tunai ahli.

Najib Razak bagaimanapun membalas tidak perlu menjual aset pegangan ekuiti khasnya ketika harga pasaran yang rendah. BNM sepatutnya boleh membeli kertas-kertas pelaburan kerajaan di dalam portfolio KWSP.

Untuk rekod, KWSP memegang sekitar 26% atau RM208 bilion kertas pelaburan Kerajaan untuk tahun kewangan 2017 (total portfolio RM791.5 bilion).

Baik, kita bincang dari sudut teknikal ekonomi.

Kaedah membeli aset-aset seperti bond dan sukuk Kerajaan oleh bank pusat adalah kaedah terakhir bagi menyediakan mudah tunai untuk pasaran.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia mempunyai kekangan fiskal (hutang melepasi had statutori 55% dari KDNK) maka kerajaan tidak dapat mengeluarkan lebih banyak sukuk dan bond untuk membantu pertumbuhan ekonomi.

Maka kaedah yang disarankan - BNM membeli kertas pelaburan yang disimpan agensi kerajaan seperti KWSP. Duit dari BNM diberi kepada pencarum yang sangat memerlukan atas risiko yang mereka akan tanggung di masa hadapan (caruman yang berkurangan).

Kertas pelaburan seperti bond dan sukuk ini memberi pulangan / dividen sekitar 3-5% setahun. Pada tahun 2017 sahaja KWSP telah mendapat keuntungan dari kertas-kertas ini sekitar RM8 bilion yang seterusnya dikembalikan kepada pencarum sebagai dividen tahunan.

Bagi saya KWSP telah menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan simpanan pencarum agar tersedia menjelang usia 55 tahun. Tidak ada perlunya KWSP bersetuju secara prinsip dengan Kerajaan di dalam polemik ini.

Memang ada keperluan pengeluaran bagi mereka yang sangat memerlukan. Di masa yang sama KWSP juga perlu mempertahankan pelaburan bagi pencarum yang tidak terjejas. Sebarang tindakan akan menganggu sistem yang telah tersedia. Ini KPI mereka.

Biarlah kerja orang politik dan kerajaan merangka polisi yang terbaik (di parlimen) samada bersifat populis atau tidak, keadaan kini memang mendesak dan kritikal. Saya pasti KWSP hanya akan menurut perintah agar banyak pihak mendapat manfaat.

Oleh itu Kerajaan wajib menggantikan kehilangan tersebut di masa akan datang dengan projek-projek usaha-sama melibatkan KWSP.

Bagaimanapun jika BNM bersedia membeli aset-aset tersebut masih ada kesan positif juga negatif khasnya apabila melibatkan duit 'dijelmakan' (dicetak) bagi membeli aset tersebut.

Ini akan saya bawa di tulisan akan datang.

[1] https://www.freemalaysiatoday.com/…/epf-may-liquidate-asse…/

No comments:

Post a Comment