Friday, April 24, 2020

Kerahsiaan dan Kesilapan Fatal

Ramai yang sudah menjangkakan tempoh PKP akan dilanjutkan 2 minggu lagi dari 28 April ke 12 Mei 2020. Malah ia adalah satu 'rahsia terbuka' kerana telah tular maklumat berkenaan PKP sebenarnya mempunyai 5 fasa dengan setiap fasa memakan masa 2 minggu.

Mengikut kiraan dari 18 Mac, kini Malaysia memasuki Fasa ke-4 dan akan dijangka menjalani fasa terakhir (Fasa ke-5) yang akan tamat pada 26 Mei 2020.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berterima kasih dengan tindakan drastik MKN yang diterajui oleh KKM di dalam mengelak penularan virus Covid-19. Jika tidak dibuat PKP dari awal, barisan hadapan pasti tidak mampu menguruskan jumlah pesakit dan kemat*an akibat Covid-19 yang tinggi.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, apabila PKP dilaksanakan maka kebebasan kita akan dikawal oleh kerajaan. Tetapi ia tidak bermaksud bahawa maklumat-maklumat penting tidak perlu dikongsi bersama rakyat secara amnya.

Bagaimanapun cara PKP ini dijalankan dalam 'kerahsiaan' membuatkan ramai tidak bersedia untuk menyusun langkah jangka pendek mahupun panjang kerana tidak tahu apakah perancangan MKN seterusnya.

Tidak seperti tarikh awal Ramadan yang cukup melihat kalendar kuda, menunggu pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hanya sekadar formaliti tahunan malah lebih sukar meneka warna baju melayu yang bakal dikenakan beliau.

Berapakah 'threshold' atau nilai ambang jangkitan yang membolehkan PKP ditamatkan? seterusnya dapat menjalankan aktiviti perniagaan walaupun di dalam tempoh terhad dan menepati piawaian perjarakan sosial.

Mengapakah saya menyentuh tentang kepentingan perniagaan kali ini?

Telah muncul perbahasan kaedah 'lockdown' hanya lebih sesuai dikenakan di negara-negara yang mempunyai sistem jaringan keselamatan yang baik. Kaedah ini memberi insentif berupa bantuan kewangan untuk rakyat yang bukan di dalam industri penting kekal tinggal di rumah bagi mengelak penularan berskala besar.

Kini tempoh PKP dilanjutkan lagi menjadi 8 minggu memasuki pertengahan bulan Ramadan. Mampukah bayaran bantuan RM1,600 (B40) dan RM1,000 (M40) dapat menjadikan mereka patuh pada arahan jika tiada pakej lanjutan?

Adakah jumlah tersebut nilai setimpal bagi sebuah keluarga untuk tidak melanggar PKP?

Saya mengandaikan akan ada individu yang menimbangkan bahawa duduk di rumah adalah sama bahayanya dengan keluar mencari pekerjaan atau bantuan kerana telah kehabisan sumber. Ini berlaku di benua Afrika sehingga rakyat mereka merampas lori makanan dan merompak pasaraya kerana kelaparan.

Saya sangat berharap agar kit 'rapid test' Korea Selatan yang dijanjikan dapat tiba di Malaysia secepat mungkin supaya ia dapat digunakan untuk membantu mempercepatkan proses pemulihan perniagaan di masa yang sama dapat mengelak lengkungan jangkitan melepasi kemampuan KKM.

Oleh itu ini satu cabaran untuk kerajaan, wabak dan ekonomi perlu diuruskan dengan sebaiknya. Jika terlalu ketat mahupun longgar, kedua-duanya akan berakhir dengan kesilapan fatal.


Sumber:

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/240223

https://www.sciencemag.org/news/2020/03/modelers-weigh-value-lives-and-lockdown-costs-put-price-covid-19

https://www.reuters.com/article/us-health-coronavirus-safrica-looting/crowds-loot-trucks-in-cape-town-a-month-into-covid-19-lockdown-idUSKCN22526W

Martin S. Eichenbaum & Sergio Rebelo & Mathias Trabandt, 2020. "The Macroeconomics of Epidemics," NBER Working Papers 26882, National Bureau of Economic Research, Inc.

Stock, James H. 2020. “Data Gaps and the Policy Response to the Novel Coronavirus.” Harvard Environmental Economics Program Discussion Paper Series.

No comments:

Post a Comment