Sedang UK mendapat PM baharu, China juga mengorak langkah untuk 5 tahun mendatang dengan muka-muka baharu yang pro Presiden Xi Jinping. Ini menandakan segala keputusan Presiden Xi bagi urusan domestik dan antarabangsa bakal mendapat sokongan penuh oleh 'yes man'.
Para penganalisa ekonomi dan politik antarabangsa menjangkakan China akan lebih 'keras' dari sebelumnya yang lebih terbuka dan mesra export / pelaburan luar ketika fasa pemerintahan Hu Jintao (2002-2012).
Di dalam pemilihan Jawatan Kuasa Pusat, Presiden Xi telah menekankan bahawa visi China 2050 akan berunsurkan 'sosialisme modenisasi bercirikan China' bersama 'dwi edaran'. Xi juga menekankan pentingnya keselamatan dan ketenteraan di dalam membangun negara.
Presiden Xi dilihat cuba mencari alternatif kepada perkembangan ekonomi ala Barat kerana ekonomi acuan kapitalis akan mencorak rakyat China berfikir cara Barat yang lebih liberal. Ini akan menyukarkan pihak berkuasa mengawal tingkah laku mereka.
Model dwi edaran (dual circulation) bermaksud China merancang untuk melestarikan eksport yang semakin meningkat (edaran antarabangsa) dan permintaan dalam negeri (edaran domestik), dengan kedua-duanya mengukuhkan satu sama lain.
Antara lainnya adalah model 'kemakmuran bersama' ala China yang bukan bermaksud dasar gaji minimum atau negara berkebajikan (welfare state) tetapi melalui sumbangan sektor korporat kepada golongan yang memerlukan.
Bagaimanapun, dasar ekonomi tersebut dibayangi isu keselamatan kerana perkataan 'keselamatan' disebut sebanyak 91 kali (Bloomberg Analysis), berbanding 60 untuk perkataan 'ekonomi'. Situasi ini adalah berlaku sejak Parti Komunis China berkuasa sejak 1949.
Ini tidaklah menghairankan dengan iklim politik yang tegang dengan pencaturan pemain-pemain antarabangsa seperti Putin (Ukrain-Russia), Macron (EU-NATO), Biden (Pivot Asia), membuatkan Xi perlu lebih defensif. Secara tak lansung ia akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi China.
Oleh itu cakap-cakap yang mengatakan bahawa China akan mengatasi Amerika Syarikat dari segi kuasa ekonomi pada tahun 2028 perlu disemak semula.
Sumber:
https://carnegieendowment.org/chinafinancialmarkets/85571
https://www.nytimes.com/.../hu-jintao-great-gamble.html
No comments:
Post a Comment