"Kalau kamu nak kaya, buat bisnes, tak payah masuk politik."
Begitulah ceramah politik Sdr. Rafizi Ramli ketika menerangkan perjalanan syarikat data raya beliau (Invoke) sehingga dijangka mampu mencapai RM50 juta pada satu hari nanti.
Bagaimanapun ia tidak lah semudah itu. Malah saya pasti para peniaga juga setuju perniagaan memerlukan komitmen yang lebih tinggi dari bekerja makan gaji. Tiada masa untuk naik di atas bumbung dan melihat burung-burung berterbangan ketika masa senggang.
Perlu diingat setiap Facebook pasti ada WeWork. Ada yang menjadi dan ada yang tidak menjadi.
Mari kita memahami perjalanan penialaian sebuah syarikat secara ringkas.
Baik, untuk sebuah syarikat pemula (start-up) bermula, ia perlu melalui beberapa proses.
Pada mulanya, pemilik syarikat akan menggunakan wang sendiri untuk memulakan perniagaan (contohnya RM2 juta). Malangnya RM2 juta hanya mampu membawa perniagaan tersebut ke tahap tertentu. Maka pemilik memerlukan dana baharu untuk ke tahap seterusnya dan alternatif terbaik selain pinjaman bank adalah melalui dana persendirian.
Maka pemodal teroka (venture capitalist atau VC) akan menyuntik dana persendirian yang diperlukan. Dan setiap siri suntikan VC akan memberi nilaian yang lebih besar dari suntikan sebelumnya. Contohnya jika suntikan pertama (Siri A) memberi nilai RM10 juta, suntikan kedua (Siri B) pula akan memberi nilai persendirian sehingga RM30 juta sehinggalah ada potensi diapungkan kelak (IPO).
Penilaian ini diberikan atas beberapa faktor seperti, saiz pasaran, keuntungan atau kecekapan pengurusan. Bagaimanapun proses di atas lebih cenderung untuk memberikan penilaian yang lebih tinggi kerana pelabur awal inginkan nilai pelaburan mereka sentiasa naik. Penilaian mereka juga tidak melalui proses ketat seperti syarikat senaraian awam.
Maka sebab itulah ada syarikat haiwan mistik unicorn ini dinilai semula (haircut) malah ada yang mengecut nilainya sebelum diapungkan di pasaran saham.
Sebabnya? Pelbagai - seperti penilaian yang berlebihan (overblown), kejatuhan keuntungan dan masalah tadbir urus korporat. Maka jadilah syarikat yang dinilai pada awalnya seperti WeWork, USD47 bilion jatuh ke USD10 bilion, Klarna (GBP37.5 bilion ke GBP6.4 bilion) dan Square (USD6 bilion ke USD2.2 bilion).
Maka kita perlu berhati-hati dengan segala dakwaan tersebut. Bagaimanapun saya tidak menafikan banyak syarikat yang berjaya melepasi penilaian pra-IPO.
Subjek penulisan ini berkisar haiwan mistik, unicorn, sementelah manusia juga adalah 'haiwan politik' yang juga perlu dinilai dari semasa ke semasa.
Selamat maju jaya Sdr. Rafizi di dalam kedua bidang yang diceburi.
* Aristotle percaya manusia adalah haiwan politik kerana kita adalah makhluk sosial yang mampu bertutur serta mempunyai penaakulan moral.
* Syarikat Unicorn - syarikat persendirian yang mencecah nilai USD1 bilion.
Sumber:
WSJ - Anatomy of an IPO Valuation, 2019.
https://www.proactiveinvestors.co.uk/companies/news/990133/unicorn-companies-will-have-to-take-more-valuation-haircuts-experts-forecast-990133.html
No comments:
Post a Comment