Malang berganda buat Sepanyol di dalam kemelut krisis ekonomi Eropah selepas dua gergasi bolasepak Barcelona dan Real Madrid tidak layak ke pusingan akhir Piala Juara-Juara Eropah Mei ini. Sedang mereka meratapi kekalahan pasukan El-Classico mereka, syarikat penarafan Standard & Poor's telah menurunkan nilai penarafan kredit kepada BBB+ iaitu tiga mata di atas taraf 'bon sampah'.
Ini berlaku kerana Standard & Poor's tidak yakin Sepanyol mampu membiayai bon-bon yang bakal matang dengan ekonomi yang lemah serta kadar pengangguran yang tertinggi di Eropah iaitu sekitar 24.4 peratus. Kenaikan kadar pengangguran tersebut mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak USD1.3 bilion setahun.
Penurunan nilai bon kedaulatan kepada BBB biasanya akan menghantar mesej bahawa perlunya kepada bantuan luaran seperti yang berlaku kepada Greece sebelum ini.
Bagaimanapun beberapa jam sebelum penurunan tersebut, Menteri Ekonomi Sepanyol menafikan negara yang terkenal dengan tradisi matador itu memerlukan bantuan 'bail-out'. Beliau menegaskan tiada mana-mana institusi kewangan ada menawarkan pakej bantuan kepada mereka kerana keadaan masih terkawal.
Langkah-langkah telah disusun seperti menaikkan cukai jualan, rokok dan arak bagi merialisasi bajet berimbang yang dijangka akan kembali positif pada 2016.
Sesuatu yang ironis kerana keadaan kewangan Sepanyol tidak menjurus ke arah lebih baik atau 'bull market' atau seperti nasib pasukan bolasepak mereka yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah 2008. Malah ketiadaan mana-mana pasukan mereka di pentas akhir Allianz Arena juga seolah-olah membayangkan kemantapan ekonomi British (Chelsea) dan Jerman (Bayern Munich).
No comments:
Post a Comment